Sebahagian pesakit Covid-19 yang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di MAEPS, Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Jumlah kes baharu Covid-19 di negara ini meningkat sebanyak 13.5% kepada 29,886 pada minggu epidemiologi ke-29 (ME29) dari 17 hingga 23 Julai berbanding 26,335 pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ,daripada jumlah itu, kes tempatan juga meningkat 13.5% daripada 26,317 kes kepada 29,858 kes tetapi kes import turun 26.3% kepada 28 kes sahaja berbanding 38 kes.

Jumlah kes kematian dalam ME29 juga menunjukkan peningkatan sebanyak 61.5% kepada 63 kes berbanding 39 pada minggu sebelumnya.

Bilangan kes pulih pada tempoh sama juga bertambah 18.9% kepada 22,757 berbanding daripada 19,138 kes sebelum ini.

“Kes kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital bagi setiap 100,000 penduduk naik sebanyak 18.3%. Bilangan pesakit dalam Kategori 1 dan 2 menunjukkan peningkatan sebanyak 12.5%,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Manakala bilangan pesakit dalam Kategori 3, 4 dan 5 melonjak sebanyak 25%, kata Dr Noor Hisham.

Dalam pada itu, kes aktif Covid-19 harian turun 1.7% pada akhir ME29 kepada 70,140 kes daripada 71,326 kes sebelumnya.

Menurut beliau terdapat 15 kluster Covid-19 yang aktif.

Namun, nilai kebolehjangkitan (RT) nasional statik pada 1.10.

Mengulas mengenai penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI), Dr Noor Hisham berkata, kadar sampel ILI positif untuk Covid-19 dalam ME29 telah menurun 0.9%.

“Kadar sampel ILI positif untuk Covid-19 telah menurun kepada 11.4% daripada 11.5% pada ME28, manakala kadar positif sampel SARI kekal pada sifar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast