Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim yang menyertai Himpunan turun hadapan Sogo Kuala Lumpur keluar dari balai polis selepas memberi keterangan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, Foto MUHD NA'IM, 25 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai 10 individu, termasuk ahli politik, memberikan keterangan kepada polis hari ini bagi membantu siasatan perhimpunan turun harga barang di hadapan pusat membeli belah Sogo, di sini, Sabtu lalu.

Antara individu yang hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira sejam bermula jam 2.40 petang untuk memberi keterangan ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura; Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Abbas Salimmi Che Adzmi.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen PKR Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz (MUDA) tidak kelihatan pada hari ini.

Bagaimanapun, difahamkan mereka akan memberi keterangan di IPS sama esok.

Adam Adli yang menyifatkan tindakan menyiasat peserta perhimpunan adalah satu bentuk intimidasi berkata, beliau memberi kerjasama kepada polis sepanjang proses memberi keterangan itu.

Menurut beliau, tindakan memprotes bukannya salah di sisi undang-undang.

Katanya, penyertaan dalam perhimpunan Himpunan #Turun mewakili suara rakyat yang tertindas dan tertekan dengan kenaikan harga barangan keperluan termasuk makanan yang teruk ketika ini.

“Kami disiasat mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Kami berpendapat soal perhimpunan aman dan hak untuk bersuara dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Adun Ketari, Young Syefura Othmani yang menyertai Himpunan turun hadapan Sogo Kuala Lumpur bersama Ahli Jawantankuasa Tertinggi (DAP), Syahredzan Johan keluar dari balai polis selepas memberi keterangan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, Foto MUHD NA’IM, 25 JULAI 2022.

Dalam pada itu, Young Syefura berkata, polis tidak perlu membuang masa memanggil dan menyiasat aktivis dan mahasiswa yang menyertai perhimpunan itu.

Ujar pemimpin DAP itu, ini kerana tiada kekacauan berlaku sepanjang protes tersebut berlangsung, sebaliknya ia dijalankan secara aman dan bersurai tanpa sebarang kekecohan.

“Ini membuang masa anggota (polis) sendiri kerana mereka boleh fokus kepda tugas-tugas lain.

“Bagi kami, perhimpunan tersebut adalah untuk menekan pihak kerajaan supaya mendengar apa yang dimahukan oleh mahasiswa dan rakyat yang makin tertekan dengan kenaikan harga barang keperluan makanan di negara ini.

“Ia (berhimpun) adalah suara rakyat yang kami wakili kerana isu kos sara hidup adalah sangat penting dalam situasi sekarang,” tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi berkata,  seramai 10 individu terdiri daripada aktivis, ahli politik dan mahasiswa selesai dirakam keterangan bermula jam 2.40 petang tadi.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012. – MalaysiaGazette