Kemalangan berhampiran jambatan Permas Jaya membabitkan seorang individu mati rentung masih belum dikenalpasti identiti.

JOHOR BAHRU – Sehingga kini polis belum boleh mengesahkan identiti pemandu kereta BMW yang ditemukan rentung dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan berhampiran jambatan Permas Jaya menghala ke Bakar Batu di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, identiti si mati yang maut  belum dikenal pasti dan tindakan mengesan waris dan saksi sedang dijalankan.

Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila kereta BMW dipandu lelaki terbabit dari arah pusat bandar ke Permas Jaya terbabas ke kanan jalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Ia menyebabkan BMW melanggar sebuah van dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an. Pada masa sama, dua kenderaan di belakang van terbabit tidak sempat mengelak terlanggar belakang van.

“Akibat pelanggaran, kereta BMW dan van terbakar 100 peratus, manakala Perodua Myvi terbakar di bahagian hadapan enjin sementara kereta Honda City hanya mengalami kerosakan sedikit di bahagian hadapan sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata, pemandu BMW maut di lokasi kejadian akibat rentung manakala pemandu van kritikal dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Manakala pemandu Myvi dan Honda City tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette