KUALA LUMPUR – Indeks Pelopor (IP) kembali pulih untuk mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 2.2 peratus kepada 111.2 mata pada Mei 2022 berbanding 108.8 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Peningkatan IP disokong terutamanya oleh kenaikan import benar logam asas berharga & logam bukan ferus lain yang dipacu oleh permintaan import berasaskan platinum yang menggalakkan.

Selaras dengan itu, IP bertumbuh kepada 0.4 peratus berdasarkan perbandingan bulanan disokong secara signifikan oleh prestasi yang baik dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (1.2%), import benar logam asas berharga & logam bukan ferus lain (0.2%) dan bilangan syarikat baru didaftar (0.1%).

Keseluruhannya, IP menunjukkan prestasi yang lebih baik pada Mei 2022 dengan indeks arah aliran jangka panjang kekal di atas 100.0 mata, menjangkakan tinjauan ekonomi yang positif pada bulan-bulan akan datang.

Melangkah ke hadapan, pengurusan inflasi yang cekap dan berkesan oleh kerajaan amat penting bagi pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Prestasi Indeks Serentak (IS) yang mencerminkan keadaan ekonomi semasa menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih baik dengan mencatatkan 6.4 peratus pada Mei 2022 daripada 5.3 peratus yang direkodkan pada April 2022.

Pada masa yang sama, perubahan bulanan IS meningkat 0.8 peratus pada bulan tersebut disokong oleh sumbangan positif terbesar daripada Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (0.7%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast