PARIS – Kedai-kedai di Perancis akan diarah menutup pintu apabila menggunakan pendingin hawa dan mengehadkan pencahayaan neon dalam usaha untuk mengurangkan pembaziran tenaga, kata seorang menteri.
Peraturan ini, yang sudah dilaksanakan di beberapa kawasan, akan dilancarkan di seluruh Perancis, kata Menteri Peralihan Ekologi Agnes Pannier-Runacher kepada akhbar Journal du Dimanche.
Kos tenaga di Eropah telah meningkat sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Kedai akan didenda sehingga €750 (£640) jika melanggar peraturan pendingin hawa.
Membiarkan pintu terbuka apabila pendingin hawa dihidupkan adalah “tidak masuk akal”, kata Pannier-Runacher melalui stesen radio tempatan RMC.
Pannier-Runacher akan mengeluarkan dua dekri mengenai pembaziran tenaga dalam beberapa hari lagi, katanya kepada Journal du Dimanche.
“Yang pertama, Perancis akan meluaskan larangan pengiklanan bercahaya, tidak kira saiz bandar, antara jam 1 pagi hingga 6 pagi.
“Yang kedua akan mengharamkan kedai daripada membuka pintu semasa pendingin hawa dan alat pemanasan berfungsi,” katanya.
Larangan ke atas papan tanda neon sudah berkuat kuasa di kawasan yang mempunyai populasi di bawah 800,000.
Hanya lapangan terbang dan stesen dikecualikan.
Shell telah memberi amaran catuan tenaga tidak boleh diketepikan di Kesatuan Eropah kerana rantau itu bergelut untuk menangani gangguan bekalan gas dari Rusia.
Perancis terus mengalami cuaca panas melampau, meningkatkan permintaan untuk penyaman udara. – BBC