Sulaiman Md Ali

MELAKA – Semua 933 pegawai syarak masjid di seluruh Melaka akan menerima kenaikan elaun bulanan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pengumuman mengenai berita baik itu akan dibuat tidak lama lagi.

“Ada perkhabaran gembira buat pegawai syarak yang terdiri daripada Imam 1, Imam 2, bilal, noja dan pengurus jenazah wanita, kerajaan negeri bersetuju untuk menaikkan elaun atau imbuhan bulanan mereka.

“Insya-Allah, pengumuman rasmi akan saya buat dalam tempoh terdekat,” katanya ketika menjawab soalan lisan Adly Zahari (PH-AMANAH-Bukit Katil) pada Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri di sini hari ini.

Adly bertanya mengenai jumlah kutipan serta pengagihan zakat di Melaka bermula Januari lalu sehingga kini.

Ketika ini Imam 1 di Melaka memperoleh elaun bulanan sebanyak RM880, diikuti Imam 2 (RM870), bilal (RM310), noja (RM300) dan pengurus jenazah wanita (RM200).

Melaka mempunyai 170 orang Imam 1, 162  orang Imam 2, enam orang Imam 3, 147 bilal, 133 noja dan 315 pengurus jenazah wanita dan kali terakhir pegawai syarak menerima kenaikan elaun adalah pada 2014. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast