Anggota bomba membersihkan tumpahan merkuri di SMK Abdullah Munshi, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Makmal sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdullah Munshi di Jalan P Ramlee, di sini, terpaksa ditutup hampir setengah jam berikutan termometer suhu yang digunakan di dalam makmal pecah menyebabkan tumpahan merkuri.

Bagaimanapun, kejadian jam 1 tengah hari itu tidak mengakibatkan guru serta pelajar cedera mahupun mengalami simptom lain.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Ahmad Tanusi Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.15 tengah hari.

Anggota bomba membersihkan lantai menggunakan cecair peluntur.

Katanya, seramai sembilan anggota dikerahkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

“Sebaik tiba di lokasi, mendapati guru telah mengarahkan kosongkan tempat kejadian.

“Pemeriksaan lanjut mendapati termometer suhu yang digunakan semasa pembelajaran di makmal sekolah berkenaan terjatuh di atas meja sebelum pecah menyebabkan berlaku tumpahan merkuri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Ahmad Tanusi, pihaknya melakukan pengudaraan di dalam makmal sebelum meneruskan kerja nyah cemar.

 “Cecair peluntur digunakan bagi membersihkan bahagian meja dan lantai serta memastikan tiada percikan tumpahan di sekitarnya.

Operasi tamat pada jam 1.37 tengah hari,” ujarnya. – MalaysiaGazette