Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyalahkan pengundi kerana tidak memilih Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu disifatkan tidak wajar selain memperlihatkan dirinya sendiri jahil agama.

Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, Presiden Pas itu harus memahami umat Islam ketika terpedaya dengan janji manis yang tidak realistik Pakatan harapan (PH) bukan kerana mereka tidak mengenali Islam sepenuhnya.

Kata beliau, pada PRU-14, bukan sahaja Pas malah Barisan Nasional (BN) yang terbukti berpengalaman berjaya membangunkan negara dan menjalankan dasar sejajar Islam pun ‘dikaramkan’ dengan dakyah fitnah.

“Namun, selepas Pas menjadi kerajaan, perubahan besar dapat dilihat pada pimpinan parti itu ialah tidak lagi kedengaran RUU355, jauh sekali hudud yang dilaungkannya selama ini, walaupun Pas mengemudi Menteri Agama Islam.

“Sebaliknya, Abdul Hadi lebih berbunyi mengenai kuasa memerintah secara solo dan “tumpang menumpang”, seolah tidak bersyukur pada sedikit kuasa biarpun menyedari parti itu hanya memiliki 18 kerusi di Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Marang itu yang antara lain dilaporkan berkata, Pas sedia untuk bersendirian sebagai kerajaan di Kedah pada PRU-15.

Katanya, kesilapan dilakukan pengundi di Kedah pada PRU-14 ialah memilih orang bukan Islam dan pihak yang disifatkannya sebagai liberal menjadi wakil rakyat.

Menurut Syed Mohd Johan, kenyataan itu boleh ditafsirkan bukan sahaja menghina UMNO tetapi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yaakob.

“Sedangkan hakikatnya, Perdana Menteri UMNO yang melantik semua ahli Parlimen Pas sebagai menteri termasuk melantiknya Duta ke Timur Tengah tanpa perlu berada di negara Arab dan bergaji penuh.

“Sekiranya dibahaskan, Pas juga boleh dianggap menumpang jawatan Menteri Besar di Kedah dan mengharapkan sokongan daripada lapan ADUN bukan Pas termasuk dua dari UMNO.

“Sepatutnya Pas bersyukur kerana diberi sedikit kuasa di peringkat pusat dan mengemudi kerajaan negeri Kedah serta menghormati erti perkongsian kuasa sebagaimana BN sebelum ini yang harmoni bermuafakat menghormati perkongsian kuasa bersama parti komponennya,” katanya.

Mengenai kenyataan Abdul Hadi yang Pas hendak memerintah Kedah bersendirian, Syed Mohd Johanl berkata, ia menunjukan sikap ego, tidak ikhlas sekali gus menamatkan teka-teki mengenai status Muafakat Nasional (MN).

Kini, katanya, telah terang lagi bersuluh melalui mulut dan lidah Presiden Pas sendiri mengambil ketetapan mahu bergerak solo di Kedah dan menguburkan MN.

“Sebagai parti yang sudah masak dengan sikap Pas, saya ingin berpesan kepada parti Bersatu dan Gerakan bahawa koalisi mereka bersama Pas dalam PN juga mungkin bakal berakhir dan ianya akan bermula di Kedah,” katanya. – MalaysiaGazette