Gambar yang dikongsi Nurul Izzah sama dengan foto yang disiarkan oleh sebuah portal berita pada tahun 2019.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar disindir gara-gara berkongsi gambar lama Gunung Inas di Baling di media sosialnya.

Dalam perkongsian tersebut Nurul Izzah menyatakan kesedihan beliau terhadap keadaan gunung yang telah gondol.

“Hancur alam sekitar kerana tamak haloba . Akibatnya, kini kita sengsara! Sedih, nampak keadaan di Baling,” kata Nurul Izzah.

Bagaimanapun Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyindir Ahli Parlimen Permatang Pauh berkenaan kerana gambar yang dikongsi Nurul Izzah dirakam pada tahun 2019.

Kedah pada tahun tersebut ditadbir oleh Pakatan Harapan di bawah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Muhammad Sanusi secara sinis bertanya kepada Nurul Izzah sama ada beliau itu turut mempunyai perasaan sama terhadap keadaan gunung yang menyedihkan itu pada tahun 2019.

“Adinda Nurul, foto yang menumbuhkan kesedihan lalu dinda kongsikan di laman pesbuk itu foto lama, Gunung Inas Baling pada tahun 2019.

“Kenapa baru sekarang dinda sedih? Tidakkah pada tahun 2019 dinda juga punya perasaan?” tanya Muhammad Sanusi.

Sementara itu beberapa rakan Facebook Naib Presiden PKR itu turut menegur Nurul Izzah kerana berkongsi foto lama.

Menurut mereka gambar tersebut sama dengan foto yang disiarkan oleh sebuah portal berita pada 17 Januari 2019.

“Gambar yang sama ke YB? Tak beralih kayu dari 2019,” tanya Ben Dawood.

“Ragaih gunung 2019 nuh harini baru up kat medsos. Steady YB kita,” sindir Radzali Kasim.

“Aduhai awal-awal lagi dah buat kantoi. Gambar yang you post ni gambar januari 2019. Pas ambil alih Kedah Februari 2020. Kedah ketika 2019 adalah kerjaan Pakatan Harapan (PKR, Amanah, DAP, Bersatu) dan The boboi Mahathir sebagai MB Kedah,” kata Tuan Shah.

Portal tersebut menyiarkan berita bertajuk ‘Kerana Musang King, empangan tergadai’ yang memaparkan keadaan kawasan Gunung Inas yang telah diratakan.

Berita itu melaporkan kenyataan penduduk mahu Gunng Inas yang menjadi empangan air dan sumber minuman utama di kawasan itu diselamatkan daripada pencemaran pembalakan dan projek Musang King.

Penduduk yang terlibat dalam pembinaan empangan itu berkata, empangan itu dibina 40 tahun lalu secara bergotong royong.

“Dulu kami minum air bersih dan jernih, ambil wuduk pun guna air bukit tu. Tapi air sekarang keruh. Sebab itulah orang kampung kacau tak bagi buat, ambil balak dan buat projek Musang King. Tempat lain banyak,” kata seorang penduduk.-MalaysiaGazette