Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika di Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2022 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Rakyat Selangor dinasihatkan agar lebih kerap melakukan pemeriksaan kesihatan bagi membantu doktor mengesan sebarang keadaan abnormal yang dihidapi mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jika individu melakukan sekali ujian saringan, maklumat yang diketahui hanya berkaitan kesihatan semasa sahaja.

Katanya, bagi mengalakkan rakyat melakukan ujian saringan secara berskala, kerajaan negeri memperkenalkan Program Selangor Saring bermula awal tahun ini sebagai langkah meningkatkan kesedaran awam.

“Pengenalan program ini adalah langkah tepat kerajaan negeri dalam meningkatkan kesedaran awam akan kepentingan menjalani saringan kesihatan awal dan saringan secara berskala.

“Program ini menawarkan saringan bagi penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

“Saringan bagi empat jenis kanser iaitu kanser payudara, serviks, kolorektal dan prostat, termasuk juga saringan pemeriksaan mata seperti rabun, glaukoma dan retina,” katanya pada sidang dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Menurut Amirudin, bermula 21 Mei hingga 17 Julai lalu, sebanyak 27 kawasan DUN telah terlibat bagi program itu dengan 7,422 sampel darah dan air kencing telah dianalisis.

Katanya, 1,528 sampel pula bagi saringan kanser dengan 25 sampel atau 1.6 peratus didapati positif berdasarkan saringan awal itu.

“Kanser kolorektal mencatatkan peratusan positif tertinggi iaitu sebanyak 5.19 peratus, manakala kanser serviks adalah terendah iaitu 1.07 peratus.

“Program Selangor Saring ini dilakukan dalam bentuk siri jelajah di semua 56 DUN bagi membolehkan lebih ramai rakyat menerima manfaat.

“Bagi menyertai program ini, orang awam digalakkan melakukan par-pendaftaran di aplikasi Selangkah dan menjawab semua soalan diberikan,” katanya.

Amirudin berkata, langkah itu antara lain bertujuan untuk mengetahui sejarah kesihatan individu dan jenis saringan yang sesuai dijalankan ketika hari saringan.

Menurut beliau, bagi memastikan kelancaran pesakit mendapat rawatan susulan selepas menjalani program Saringan Kanser, kerajaan negeri telah bekerjasama dengan beberapa hospital panel.

Justeru, katanya, pesakit yang telah dikenal pasti positif pada peringkat saringan awal akan dirujuk ke hospital berkenaan untuk mendapatkan prosedur lanjut.

“Bagi saringan penyakit tidak berjangkit, pesakit yang mendapat keputusan abnormal akan dirujuk ke klinik panel Selcare bagi sesi konsultasi yang akan diberikan secara percuma,” katanya. – MalaysiaGazette