Setiausaha Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail bercakap pada sidang media mengenai menggesa agar satu sidang khas dewan untuk membincangkan tiga isu utama berkaitan isu baik pulih Stadium Shah Alam, pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Rasau dan warta Hutan Simpan Bukit Cherakah di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 25 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Otai Reformis mempersoalkan pendirian Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang didakwa tidak konsisten berhubung status Stadium Shah Alam, sama ada mahu dirobohkan ataupun dibaikpulih yang dijangka menelan belanja sehingga RM787 juta.

Setiausahanya, Abdul Razak Ismail berkata, hasrat Menteri Besar yang sebelum ini mahu merobohkan kompleks sukan itu tiba-tiba berubah setelah diasak beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

“Pada mulanya dia (Amirudin) kata nak robohkan stadium itu, jadi 15 syarikat dalam dan luar negara dijemput untuk bina stadium baharu. Bila ditekan NGO, dia tukar pula, tak jadi roboh, baik pulih stadium ini dengan harga RM787 juta.

“Bila NGO tekan lagi, (Amirudin kata) stadium ini dibaik pulih, buat pendawaian baharu, baiki tandas dan bumbung. Ini terlampau mahal dengan RM787 juta dalam keadaan ekonomi kita tak stabil, ramai tak ada kerja dan sebagainya.

“(Kemudian) tukar pula, kata RM787 juta ini bukan baiki pulih Stadium Shah Alam sahaja, tapi melibatkan Stadium Malawati dan stadium mini. Daripada runtuh kepada baik pulih dan kini baiki tiga stadium,” katanya kepada pemberita di luar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), hari ini.

Setiausaha Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail menunjukkan surat memorandum yang akan diserahkan kepada Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim mengenai menggesa agar satu sidang khas dewan untuk membincangkan tiga isu utama berkaitan isu baik pulih Stadium Shah Alam, pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Rasau dan warta Hutan Simpan Bukit Cherakah di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 25 JULAI 2022.

Terdahulu Abdul Razak menyerahkan memorandum kepada Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim menggesa agar satu sidang khas dewan diadakan bagi membincangkan tiga isu utama melibatkan kepentingan awam.

Memorandum itu diterima oleh Setiausaha Media kepada Speaker Dewan Negeri Selangor, Cheah Jun Ning di luar pagar utama bangunan SSAAS.

Dalam pada itu, Otai Reformis membantah kenyataan Menteri Besar sebelum ini bahawa Stadium Shah Alam mengalami kerosakan kerana banjir besar yang berlaku pada Disember tahun lepas.

“Kedudukan Stadium Shah Alam itu tinggi, tak mungkin banjir menyebabkan stadium itu rosak. Mungkin banjir itu disebabkan perparitan padang stadium yang tidak sempurna, tersumbat dan sebagainya.

“Itu satu kenyataan yang tidak betul, tidak berfakta, jadi kita minta Menteri Besar perbetulkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast