Dr Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Seramai 648 daripada 13,976 guru di Melaka dikenal pasti menghadapi tekanan dan kemurungan sehingga mendorong majoriti mereka bersara lebih awal.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata, dapatan itu diperoleh selepas mereka menjawab saringan Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS) yang diambil secara sukarela melalui Sistem Pengurusan Perkhidmatan Kaunseling (e2PK) Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, saringan yang dikendalikan Sektor Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan negeri itu adalah untuk mengukur tahap tekanan dan kemurungan dalam kalangan guru di negeri ini.

Katanya, daripada jumlah disaring, 23 atau 3.54  peratus guru berada pada tahap stres dan 28 (4.32%) lagi di tahap kemurungan.

“Susulan itu, beberapa tindakan diambil untuk memulihkan keadaan itu seperti kaunseling, melaksanakan Program Meningkatkan Kesedaran Kesejahteraan Psikologi Guru #3A (sedar dan peka tindak) kepada semua warga Jabatan Pendidikan negeri.

“Turut dilaksanakan adalah Program Pemulihan, Pencegahan, Pembangunan dan Intervensi (3PI), antaranya Program Literasi Kewangan, Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), Program Pementoran, Program Mutiara (prestasi sederhana dan rendah) dan Intervensi Guru Positif COVID-19,” katanya.

Dr Muhamad Akmal (BN-Merlimau) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau) pada Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 di Seri Negeri, di sini, hari ini yang bertanyakan apakah punca kebanyakan guru mengambil tindakan bersara awal di Melaka.

Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan Seah Shoo Chin (DAP-Kesidang) mengenai peruntukan untuk menaik taraf dan pembaikan sekolah, Dr Muhamad Akmal berkata, pembinaan sekolah baharu akan dibina sekiranya sekolah sedia ada sudah mencapai bilangan bilik darjah fizikal berjumlah 36 bagi sekolah rendah dan 42 untuk sekolah menengah.

“Mengikut rekod, permohonan projek baharu yang akan diangkat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) adalah Pusat Tingkatan Enam di Bachang, Serkam dan Ayer Limau, diikuti menaik taraf bangunan daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Sebatu di Sungai Rambai serta menaik taraf bangunan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) On Lok, Jasin.

“Turut diberi tumpuan, bangunan tambahan enam bilik darjah dan lain-lain kemudahan di SK Kampung Tengah, pembinaan bangunan baharu 24 bilik darjah dan kemudahan lain di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Berendam, pembinaan bangunan tambahan 12 bilik darjah di SK Telok Berembang, pembinaan padang permainan SK Air Baruk, SK Batu Berendam dan SK Ayer Molek,” katanya. – MalaysiaGazette.