Pemimpin bahagian PPBM sudah empat malam tidur dalam lokap di sebuah balao polis di Kota Bharu.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberitahu Dewan Rakyat sejumlah 82 kes kematian dalam tahanan polis berlaku sejak 2015 lalu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberitahu Dewan Rakyat sejumlah 82 kes kematian dalam tahanan polis berlaku sejak 2015 lalu.

Daripada jumlah itu, 79 daripadanya lelaki dan tiga lagi adalah wanita.

Melayu merupakan tahanan yang paling ramai mati dalam tahanan iaitu 43 orang dikuti Cina seramai 15 orang, India seramai 13 orang, lain-lain seramai seorang dan tahanan warga asing seramai 10 orang.

“Untuk rekod, seramai 71 orang mati disebabkan sakit manakala 11 orang mati disebabkan bunuh diri,” demikian menurut KDN dalam jawapan lisan kepada soalan Kasturi Patoo (PH-Batu Kawan) pada 19 Julai lalu.

Menurut KDN, seramai 71 orang mati disebabkan sakit manakala 11 orang mati disebabkan bunuh diri.

Dalam pada itu, KDN berkata, mulai Januari tahun ini, semua kes kematian dalam tahanan akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, dan tidak lagi disiasat oleh oleh Pegawai Penyiasat.

“Kejadian berlaku bagi memastikan ketelusan siasatan dan tidak berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang- undang dan salahlaku tatatertib. Kes-kes berkaitan bukan sahaja disiasat di bawah aspek jenayah tetapi juga disiasat dari aspek tata tertib.

“Dari 1 Januari hingga 30 Jun 2022, jumlah kematian dalam lokap dan tahanan yang disiasat oleh USJKT adalah sebanyak 19 kes. Sebanyak tiga kes berpunca dari Covid-19, tiga kes penyakit jantung, dua kes bunuh diri, dua kes tibi, empat kes lain-lain penyakit dan lima kes masih menunggu analisa makmal,” jawab KDN.

KDN memberitahu bagi Jabatan Penjara pada tahun 2021 sehingga 5 Julai lalu menunjukkan seramai 693 orang penghuni penjara telah meninggal dunia di hospital semasa penghuni berkaitan menerima rawatan lanjut.

Sebanyak 663 kematian dilaporkan adalah disebabkan berpenyakit seperti berkaitan jantung, darah, paru-paru, tibi, asma, kanser dan lain-lain.

Manakala seramai 24 kematian pula adalah disebabkan jangkitan HIV sementara enam daripadanya pula telah dilaporkan mati disebabkan gantung diri dan kejadian luar biasa.

“Rekod Jabatan Imigresen bagi tempoh 2015 sehingga 5 Julai 2022, terdapat 530 kematian melibatkan 460 orang tahanan lelaki, 63 orang tahanan wanita, 7 orang tahanan kanak-kanak lelaki.

“Antara sebab-sebab kematian yang dikenal pasti oleh pihak hospital adalah berpunca daripada jangkitan Covid-19, Tuberculosis, sakit jantung, sakit buah pinggang, kanser dan jangkitan paru-paru,” kata KDN lagi. – MalaysiaGazette