SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini dimaklumkan, kerajaan negeri tidak menyediakan skim pembinaan rumah di atas tanah hak milik sendiri untuk golongan B40.
Sebaliknya, kata Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail, Dasar Perumahan Mampu Milik kerajaan negeri yang ditawarkan khusus kepada golongan B40 ialah program pemilikan Rumah Selangorku, manakala bagi skim penyewaan pula adalah skim sewaan PPR dan Smart Sewa.
Kata beliau, antara skim bantuan perumahan yang disediakan oleh kerajaan negeri ialah program pemilikan rumah mampu milik di bawah Program Rumah Selangorku.
“Sepanjang tahun ini, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan pembangunan 675 unit Rumah Selangorku melibatkan empat projek untuk ditawarkan sebagai program pemilikan kepada golongan sasar.
“Projek ini kini dalam proses mendapatkan kelulusan pembangunan daripada jabatan dan agensi teknikal sebelum memulakan pembinaan di lapangan,” katanya menjawab soalan Datuk Mohd Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang).
Mohd Imran bertanyakan soalan, adakah kerajaan negeri menyediakan dana atau skim khas untuk bantuan bina rumah di atas tanah milik sendiri bagi golongan B40.
Menjawab soalan itu lagi, Rodziah bagaimanapun berkata, bagi B40 atau mereka yang mempunyai tanah milik sendiri yang hendak membangunkan rumah, ada satu peruntukan di bawah Exco Kebajikan Masyarakat, Pekerja dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau.
Katanya, peruntukan itu di bawah Kerajaan Prihatin membina rumah baharu dan juga membaik pulih rumah dengan RM1 juta keseluruhan dana setahun yang disediakan.
“Untuk membina rumah baharu diperuntukan maksimum RM50,000 seunit dan untuk membaik pulih boleh dimohon sehingga maksimum RM20,000,” katanya.
Berbalik kepada konteks bidang kuasanya, Rodziah yang juga ADUN Batu Tiga berkata, bagi pihak Kerajaan Perumahan, setiap tiga bulan sekali Lembaga Perumahan bermesyuarat.
Katanya, menerusi mesyuarat itu, beliau di bawah Jawatankuasa Rumah Selangorku kita meluluskan beberapa permohonan pemaju, selain melihat dan meneliti rumah mampu milik atau rumah kos rendah yang sepatutnya dilaksanakan.
“Banyak yang telah kita luluskan, keseluruhan dari tahun 2020 sehingga pembentangan skim baharu Idaman Harapan dibuat, kita nampak ada potensi, ramai pemaju datang semula untuk memohon pembangunan ini
“Sehingga kini, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan sebanyak 4,818 unit rumah yang melibatkan 10 projek.
“Kelulusan ini ada dua peringkat, satu di peringkat jawatankuasa dan banyak telah diluluskan, tetapi perlu diangkat semula kepada MMKN untuk kelulusan setelah dilihat dalam konteks teknikal oleh PBT dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette