KUALA LUMPUR – Syarikat FGV yang mengeluarkan minyak masak jenama Saji sudah boleh mulakan proses penurunan harga minyak masak berbotol.
Jika Saji turunkan harga, yang lain akan terpaksa ikut, kata Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, harga minyak sawit sudah turun sejak awal bulan Jun ke paras awal tahun 2021 selepas Indonesia menghabiskan stok bekalan yang melimpah.
Berikutan itu, harga minyak sawit jatuh separuh sejak awal bulan Jun.
Namun, harga minyak masak berbotol di Malaysia belum turun.
”Ini dah masuk akhir bulan Julai.
”Harga minyak masak 5kg pada ketika ini setelah penurunan mendadak harga minyak sawit sepatutnya sudah jatuh ke sekitar RM30 bagi 5kg. Tapi masih dijual pada harga melebihi RM40.
”Takkan stok lama yang dibeli pada tempoh harga minyak sawit cecah RM7,000 masih belum habis setelah dua bulan berlalu?,” katanya.
Sedangkan, sebelum ini, banyak kilang minyak masak telah menghentikan pembelian buah tandan segar apabila mereka hentikan pengeluaran semasa harga minyak sawit jatuh.
”Adakah mereka telah mulakan semula pengeluaran seperti disaran kerajaan?,” soal beliau lagi.
Menurut Najib, sekiranya kesemua pengeluar masih enggan turunkan harga maka Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang ditubuh Kerajaan Barisan Nasional semasa beliau menjadi Perdana Menteri boleh mula siasat sekiranya wujudnya usaha pakatan harga antara pengeluar minyak masak.
Ujar beliau, pakatan harga adalah satu kesalahan di bawah Akta Persaingan 2010. – MalaysiaGazette