KUALA LUMPUR – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini memaklumkan pihaknya akan melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air Sungai Rasa (LRA Sungai Rasa).
Pelaksanaan kerja-kerja ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 188 kawasan di Wilayah Hulu Selangor bermula pukul 9 pagi pada 9 Ogos dan dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 1 pagi pada 11 Ogos ini.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Elina Baseri berkata, pelaksanaan kerja-kerja terbabit telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaiktaraf sistem bekalan air demi keselesaan para pengguna pada masa hadapan.
“Bekalan air dijangka akan mula disalurkan kepada para pengguna bermula jam 1 pagi, 10 Ogos 2022 secara berperingkat-peringkat setelah kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan siap, dan seterusnya apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan.
“Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 1 pagi, 11 Ogos 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Elina, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.
Menurutnya, bagi menangani masalah tersebut, Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
“Justeru itu, Air Selangor ingin menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.
“Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan Air Selangor Wilayah Petaling dan Gombak.
“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing yang akan dibuka di dua stesen pengisian air di Batu Caves dan Persiaran Mahogani, Kota Damansara,” tegas beliau.
Elina juga memaklumkan bahawa pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.
Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – MalaysiaGazette