Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hadir ke mahkamah bagi kes saman fitnah bekas Menteri Industri Utama Teresa Kok terhadapnya berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 08 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini telah memerintahkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos membayar Teresa Kok sebanyak RM300,000 berhubung kes saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Seputih itu.

Kos ini merupakan ganti rugi berkait dengan ucapan dibuat Jamal pada 2017 dengan menuduhnya tanpa bukti bahawa Teresa telah menyeweleng dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Arief Emran Arifin membuat perintah kos tersebut dan telah memerintahkan Jamal sebagai defendan membayar ganti rugi, termasuk ganti rugi am, teruk dan teladan dalam tenpoh 14 hari bermula hari ini.

Selain itu, mahkamah juga telah memerintahkan Jamal membayar RM50,000 lagi sebagai kos dan mengeluarkan injunksi untuk melarangnya atau daripada mengulangi tuduhan berbaur fitnah itu.

Untuk makluman, Jamal tidak hadir pada prosiding hari ini.

Plaintif  (Teresa) melalui peguamnya, Sankara Nair telah memohon sejumlah RM800,000 sebagai ganti rugi.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bersama peguamnya, Edmund pada sidang media selepas membuat laporan polis terhadap kes Jamal Md Yunos terhadap Skim Mesra Usia Emas Bil 4 Tahun 2016 di Ibu Pejabat Polis Sentul, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 10 MEI 2022.

Ahli politik veteran DAP itu telah memfailkan saman pada 6 April 2017 dengan mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas dalam sidang media pada 8 Mac 2017.

Dalam pernyataan tuntutannya, Teresa mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Dakwannya, kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Teresa menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan. -MalaysiaGazette