KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hal Ehwal Antarabangsa Parlimen akan memulakan prosiding berhubung isu tuntutan waris Kesultanan Sulu ke atas aset-aset negara 11 Ogos depan.
Menurut pengerusinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, prosiding itu selaras dengan Peraturan Mesyuarat 83 (4) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar secara umumnya akan memberikan kerjasama dan akan hadir bagi menjayakan proses prosiding ini,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Turut akan dipanggil adalah Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
“Sekiranya perlu, kita akan panggil saksi-saksi yang kita rasakan akan membantu prosiding ini,” katanya lagi.
Tambah Salahuddin, sesi prosiding adalah bergantung kepada kerjasama yang diberikan oleh Saifuddin, Wan Junaidi mahu pun Idrus.
Salahuddin berkata, prosiding itu wajar dimulakan selepas beberapa usul dibawa ahli Parlimen pembangkang tidak diterima untuk dibahaskan dalam Dewan Rakyat minggu lalu.
“Tuntutan waris Sultan Sulu adalah amat serius dan sekiranya tidak ditangani dengan baik berpotensi menjejaskan kepentingan negara.
“Sehubungan itu, jawatankuasa ini mengambil keputusan selaras dengan peranannya sepertimana yang ditetapkan oleh Dewan Rakyat untuk menjalankan peranan semak dan imbang terhadap tindakan kerajaan sera memartabatkan institusi demokrasi berparlimen,” katanya lagi.
Dewan Rakyat menerusi Yang di-Pertuanya, Tan Sri Azhar Azizan Harun sebelum ini menolak usul yang dibawa Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) supaya Parlimen membahaskan isu tuntutan waris kesultanan Sulu terhadap Sabah. – MalaysiaGazette