Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan telah mencapai kata sepakat mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan gabungan pembangkang.

Menurut Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul, keputusan itu akan diumumkan kepimpinan PH kepada umum tidak lama lagi.

“Keputusan yang dicapai ialah dalam PH bukan keputusan PKR sahaja. Yang kita faham ialah bahawa apa juga keputusan itu melibatkan pimpinan PH dengan Perdana Menteri, saya difahamkan telah ada kata sepakat antara kepimpinan PH dengan PM yang tidak dimaklumkan kepada kami lagi.

“Besar kmeungkinan sebaik sahaja PH buat keputusan, ia akan diumumkan kepada masyarakat,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Johari berkata demikian ketika ditanya media mengenai kenyataan PH bahawa MoU berkenaan tidak mempunyai tarikh luput namun Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa parti itu bertegas untuk tidak melakukan sebarang lanjutan dalam MoU berkenaan.

Ahmad Maslan pada 19 Julai lalu berkata perkara itu sudah diputuskan dalam Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) parti itu dengan pimpinan orang ramai sedia maklum tentang keputusan tersebut.

“MKT UMNO putuskan tiada lagi lanjutan kepada MoU antara Kerajaan dan PH. Kami menganggap apabila MoU sebut tidak boleh bubar Parlimen sebelum 31 Julai 2022, maka itulah tarikh tamat MOU.

“Pimpinan tahu tentang keputusan MKT ini dan sudah diumum pun kepada org ramai. #RakyatDidahulukan bukan PH,” katanya dalam satu hantaran di Twitter.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU itu, Tan Sri Annuar Musa yang berkata, tiada tarikh tamat bagi MoU yang ditandatangani pada 13 September tahun lalu.

Sebaliknya, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, MoU tersebut menyatakan kerajaan dan PH bersetuju untuk tidak mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 sebelum 31 Julai ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Yg jadi kan Mail Sabri PM dan mewujudkan kerajaan ialah sokongan UMNO+BN…kalau PM langgar UMNO, maka parti boleh lah tarik sokongan…kita tgk plak kalau PH boleh bagi sokongan utk Pak Mail terus jadi PM yer

Comments are closed.