LTAT

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menafikan dakwaan Kesatuan Kakitangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (KKLTAT) bahawa pihak pengurusan LTAT tidak mengendahkan kebajikan pekerja.

Ini kerana beberapa sesi perbincangan dan penjelasan kepada KKLTAT termasuk melalui forum rasmi Mesyuarat Bersama Jabatan (MBJ) telah dianjurkan bagi membincangkan tuntutan mereka supaya gaji kakitangan diselaraskan kepada 15 peratus dan dibayar secara tunggakan ke tahun 2020.

”Oleh itu, pihak pengurusan kesal dengan keputusan KKLTAT untuk meneruskan piket walaupun pelan penyelarasan gaji dan bayaran sara hidup telah dimaklumkan lebih awal,” katanya dalam kenyataan di sini susulan tindakan KKLTAT yang berpiket semalam.

Menurut LTAT, tuntutan ini sememangnya dalam proses pelaksanaan dan akan diselaraskan bukan secara pukul rata seperti mana amalan sebelum ini, tetapi secara individu mengikut pemetaan gaji (salary-mapping) yang wajar.

Oleh kerana sebahagian kakitangan yang berada di bawah P50 (tanda aras gaji pasaran) bakal menikmati penyelarasan gaji sehingga 36 peratus, selain daripada bayaran sara hidup sebanyak RM5,200 setiap seorang.

Sejak tahun 2020 dan sehingga kini, LTAT terus membayar bonus tahunan maksimum tiga bulan, malah kadar peratusan kenaikan gaji tahunan staf dari tahun 2020 hingga 2022 juga meningkat dari maksimum 5.5 hingga 7.0 peratus mengikut prestasi masing-masing.

LTAT juga memberi Bantuan Sara Hidup Khas Covid dari tahun 2020 hingga 2021 kepada staf yang terjejas dengan jumlah keseluruhan RM36,590. LTAT juga memberi inisiatif tambahan dalam bentuk moratorium agar staf yang meminjam daripada LTAT tidak perlu melakukan pembayaran balik pinjaman bagi tempoh enam bulan.

Tambahnya, LTAT juga menekankan bahawa tiada staf yang hilang pekerjaan serta tiada pengurangan gaji asas mahupun elaun bulanan sepanjang tempoh pandemik. – MalaysiaGazette