Maritim Malaysia dan Indonesia berganding bahu mencegah jenayah rentas sempadan. Foto Ihsan APMM

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berganding bahu dengan penguatkuasa maritim dari Indonesia untuk membanteras jenayah rentas sempadan menerusi Operasi Patrol Terkoordinasi Operasi Tindakan Maritim (Patkor Optima) siri 29A/2022 di sekitar perairan Selat Melaka.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim V. Pannir Selvan Veloo berkata, operasi tersebut dijalankan bermula Isnin lalu hingga 5 Ogos ini.

Katanya, operasi berkenaan memberi tumpuan terhadap laluan ‘panas’ yang menjadi tumpuan penjenayah rentas sempadan berkenaan di Selat Melaka.

“Sebanyak 12 buah aset dari Malaysia dan lima aset dari Indonesia diatur gerak untuk membuat pengawasan di sepanjang Selat Melaka untuk memastikan perairan di kedua-dua negara bebas dari perlakuan jenayah dan ancaman rentas sempadan.

“Jenayah seperti penyeludupan migran, dadah, kontraban dan isu pencerobohan bot nelayan merupakan kegiatan yang lazim berlaku di Selat Melaka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Maritim Malaysia dan Indonesia berganding bahu mencegah jenayah rentas sempadan. Foto Ihsan APMM

Tambah beliau, kolaborasi di antara agensi penguatkuasa itu adalah penting dalam memastikan masyarakat kedua-dua negara bekerjasama membanteras jenayah rentas sempadan kerana ianya memerlukan komitmen bersepadu dari semua pihak.

Siri eksesais dwi-tahunan itu diadakan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM),Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Paktor Optima dijadikan pentas penguat kuasa dari kedua-dua negara mengenalpasti isu semasa membabitkan jenayah rentas sempadan serta keadah terbaik menyelesaikannya di mana pelaksanaannya telah tertangguh kira-kira dua tahun disebabkan pandemik Covid-19.

“Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi edisi latihan kali ini di mana acara perasmian telah disempurnakan bersama Ketua Tim Perancang Operasi Maritim (TPOM), Laksamana Pertama Bakamla Bambang Irawan S.E.M. Tr. Sopla dari Indonesia.

“Siri 29A/2022 ini akan dimulai dengan sesi pembentangan dan perbincangan antara kedua-dua negara sebelum ke fasa rondaan di laut serta dijangka berakhir pada 5 Ogos menerusi majlis penutupnya di Indonesia,” tegas beliau. – MalaysiaGazette