Wan Ahmad Ikram Wan Ahmad Lotfi dan Lee Yee Ming, Naib Presiden Eksekutif PIDM semasa pelancaran #SediaPayungKewangan di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) melancarkan kempen daya tahan kewangan #SediaPayungKewangan yang kedua dan merasmikan laman web mikro kempen serta akaun Instagram Chief BerUang, ikon pengurusan kewangan PIDM yang baik, iaitu @chief.beruang.

Orang ramai boleh menjangkakan pelbagai pengaktifan aktiviti fizikal dan digital apabila kempen ini berlangsung secara hibrid bermula hari ini sehingga 30 September 2022.

Naib Presiden Eksekutif PIDM, Wan Ahmad Ikram Wan Ahmad Lotfi berkata, kesan pandemik Covid-19, di tengah-tengah ketidaktentuan lain dalam ekonomi telah menekankan bahawa literasi kewangan adalah kemahiran hidup yang diperlukan dalam membina daya tahan individu dan mengurangkan potensi kesan kewangan ketika waktu di luar jangkaan.

”Kami mahu rakyat Malaysia tahu bahawa mereka tidak perlu menunggu peristiwa yang memberi kesan kepada kehidupan seperti pandemik untuk mengetahui sama ada mereka berdaya tahan dari segi kewangan atau tidak, mahupun untuk mula membaiki kedudukan kewangan mereka.

”Kempen #SediaPayungKewangan kami bertujuan untuk membina daya tahan rakyat Malaysia melalui pengetahuan kewangan,” kata Wan Ahmad Ikram.

Kempen #SediaPayungKewangan menyasarkan terutamanya golongan milenial di pelbagai peringkat kehidupan – bujang yang bekerja, pasangan suami isteri yang bekerja dengan atau tanpa anak dan bertujuan untuk mendorong perbualan dalam kalangan orang ramai, untuk lebih bersedia menghadapi cabaran kewangan dan kecemasan.

Melalui kempen ini, PIDM memastikan perbualan ini dapat disemai dan dikekalkan dalam kehidupan seharian masyarakat.

Salah satu sorotan utama kempen ini ialah Kalkulator SPK, suatu platform interaktif yang mengimbangkan pendapatan dan perbelanjaan individu dan membuat pengiraan berapa banyak yang diperlukan untuk simpanan tabung kecemasan.

Kalkulator ini percuma untuk digunakan dan tidak memerlukan pendaftaran.

Sesiapa yang berminat untuk membina tabung kecemasan boleh menggunakan Kalkulator SPK untuk menilai kecukupan kewangan mereka untuk masa kecemasan.

Sebagai sebahagian daripada aktiviti, PIDM akan menganjurkan jerayawara di empat negeri, bermula dengan Lembah Klang pada 6 Ogos dan bergerak ke selatan ke Seremban, Melaka dan Johor, meliputi 25 lokasi selama 21 hari.

Orang ramai dijemput untuk melihat PIDM Kombi Van dan menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan serta berpeluang memenangi hadiah dalam pertandingan foto. Butiran mengenai lokasi dan tarikh PIDM Kombi Van akan dikemas kini secara berkala di akaun Facebook PIDM dan akaun Instagram Chief
BerUang.

Di samping itu, orang ramai ke laman web mikro #SediaPayungKewangan untuk mengakses video dan artikel untuk membimbing mereka menjadi lebih berdaya tahan kewangan.

#SediaPayungKewangan dilancarkan pada tahun 2021 dan meraih capaian lebih daripada 9.5 juta menerusi pelbagai saluran digital sementara tiga siri video animasi pertama “Borak Bersama Chief BerUang” mencatatkan 3.9 juta tontonan kumulatif di Facebook dan YouTube. – MalaysiaGazette