PUTRAJAYA – Polis Kuala Lumpur sentiasa bersiap siaga dengan aset yang sedia ada untuk menghadapi banjir kilat di ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menerima sebanyak 10 bot yang disumbangkan oleh wakil rakyat di setiap daerah di bawah pentadbiran kontinjen itu akan dimanfaatkan ketika banjir kilat.
“Latihan pengendalian bot selama dua hari yang bermula semalam membabitkan 55 anggota diberi perhatian serius untuk memastikan polis tangkas menyelamatkan mangsa yang terjatuh dalam air dan juga semasa banjir kilat.
“Latihan julung kali ini juga berupaya menguji aset yag diterima oleh kami dan memanfaatkan sepenuhnya, ” katanya ketika selepas menyempurnakan Latihan Dalam Perkhidmatan Pengenalan dan Pengendalian Bot Kontinjen Kuala Lumpur di Pangkalan Polis Marin Putrajaya.
Dalam program berkenaan, beliau turut menaiki bot bersama pengamal media melakukan pemantauan di tasik tersebut.
Tambah beliau, walaupun aset-aset yang diterima mungkin tidak cukup serta berkapasiti kecil tetapi ia memberi nilai tambah bagi kerja-kerja menyelamat khususnya waktu banjir kilat.
Beliau yakin latihan ujian kemampuan bot serta penyelamatan mangsa dalam air akan meningkatkan kesiap-siagaan serta kemahiran anggotanya sentiasa pada tahap tinggi ketika diperlukan di lapangan.
“Saya juga berharap ini bukan terakhir dan kita akan terus praktikkan ilmu ini secara maksimum semasa bencana banjir kilat. Saya juga sarankan semua ketua-ketua polis daerah di Kuala Lumpur agar memberi perhatian serius apabila berlaku banjir kilat dan pasukan marin ini digerakkan segera.
“Walaupun di KL banjir kilat berlaku sangat singkat, kalau lewat tak mampu beri bantuan yang diperlukan, maka latihan seumpama akan memastikan kita sentiasa bersiap sedia dengan aset penyelamatan,” katanya sambil menambah latihan ini juga akan membabitkan anggota polis wanita pada masa akan datang.- MalaysiaGazette