Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mendapat kebenaran daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengenal pasti tanah tanah sesuai untuk tujuan pertanian.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menerusi syarikat berkaitan kerajaan iaitu Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Yayasan Selangor (YS) telah mengemukakan senarai tanah kepada Unit Pemodenan Pertanian Seksyen Makro dan Penswastaan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor.

Beliau berkata, PKPS telah diberi tanggungjawab untuk menguruskan projek pertanian bersepadu di Sungai Rasal, Ulu Selangor sejak 1992 lagi.

“MBI dan PKPS bersetuju untuk berkolaborasi bagi melaksanakan projek pertanian bioteknologi tinggi di bawah pemantauan Exco Infrastruktur dan Pertanian, Ir. Izham Hashim.

“Kolaborasi ini telah dimuktamadkan iaitu melibatkan sebidang tanah seluas 781.47 ekar di Batu 29, Batu Arang, Gombak.

“Ini yang setakat ini telah dikenal pasti, namun dari semasa ke semasa, kita telah beri tanggungjawab untuk mengumpulkan tanah kerajaan negeri dan tanah anak syarikat untuk mencapai sasaran iaitu 2,000 ekar setahun dan sasaran itu masih lagi kita cari,” katanya pada sidang DUN Selangor  hari ini.

Menurut Amirudin, bagi menjayakan dasar pertanian iaitu Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA), kerajaan negeri telah bekerjasama dengan kerajaan Negeri Sembilan untuk projek tanaman jagung bijirin.

Katanya, tanaman itu merupakan antara sumber makanan ternakan dalam negeri dan PeTA akan melaksanakan dasarnya sebaik mungkin iaitu memajukan sektor pertanian dengan lebih teratur dan tersusun dengan memberikan penekanan kepada pertanian yang menghasilkan pulangan tinggi menerusi kaedah moden.

Beliau percaya dengan kaedah itu akan dapat mengurangkan kesan kenaikan serta penggantungan terhadap bahan makanan daripada sumber import yang telah menyebabkan harga makanan tinggi ketika ini.

“Sudah pasti kerajaan negeri tidak akan laksanakan sendiri, memang kita ada agensi yang akan mengetuai projek ini iaitu PKPS.

“Kerana setelah bertahun-tahun, saya boleh katakan PKPS mendapat sumber dan hasil yang besar dari sektor perladangan.

“Jadi, kita hendak memperkasakan sektor pertanian yang merupakan antara cita-cita dan tujuan awal penubuhan PKPS dan sebagaimana telah kita cadangkan di Sabak Bernam dan beberapa kawasan lain, kita akan buka kepada syarikat berkaitan untuk projek penanaman ini,” katanya.

Katanya, jagung bijirin contohnya, kerajaan negeri telah bekerjasama dengan sebuah syarikat yang telah membuktikan berkemampuan menanam tanaman itu di Selangor dan di tanah yang dikelola oleh PKPS. – MalaysiaGazette