KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan kenapa Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Politik belum dibentangkan di Parlimen.
Presiden UMNO itu berkata, sehingga hampir berakhirnya sidang Dewan Rakyat, RUU itu belum dibentang dan dibahaskan untuk kelulusan.
“Ketika pemerintahan Datuk Seri Najib Razak (sebagai Perdana Menteri), pernah dicadangkan undang-undang ini, namun apabila Barisan Nasional (BN) kalah ia tidak sempat dibentangkan.
“Akibatnya apabila era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja RUU tersebut tidak dibentangkan, malah berlaku pendakwaan terpilih berunsur politik,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Berikutan itu, tegas Ahmad Zahid, yang menjadi mangsa adalah mereka yang dianggap musuh politik.
Katanya, apabila beliau enggan membubarkan UMNO, dirinya dan teman-teman pimpinan parti dijadikan kambing hitam dalam isu kes wang pembiayaan politik dan derma.
“Peliknya yang bersekutu dengan mereka tiada pula apa-apa pendakwaan hingga kini.
“Maka, apabila BN menang PRU15 dan menguasai Parlimen akan dipastikan rang undang-undang tersebut akan dibentangkan di Parlimen.
“Tiada lagi pihak yang akan teraniaya dan menjadi kambing hitam dalam isu pembiayaan politik serta derma politik,” katanya.
Beliau mengulangi kata-kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa individu yang memberikan dana politik tidak berasa khuatir, manakala penerima tidak dizalimi.
“Inilah yang menjadi azam UMNO dan BN, janganlah putus asa dan teruskanlah bangkit. Masa akan tiba tidak lama lagi,” katanya. – MalaysiaGazette