Mohd Shaid Rosli

SHAH ALAM – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sesi petang kecoh apabila Mohd Sany Hamzan (Amanah-Taman Templer) menegur Mohd Shaid Rosli (Pejuang-Jeram) supaya menyatakan pendirian sama ada hendak berada di blok kerajaan, pembangkang atau bebas.

Mohd Sany membuat teguran itu kerana tidak berpuas hati dengan gangguan daripada Mohd Shaid ketika beliau bangun mencelah pada sesi perbahasan isu KDEB Waste Management Sdn. Bhd. oleh Faizal Eddy Yusof (PH-Dusun Tua).

“Apa?.. kalau Jeram nak bangkit (bangun), bangkit.. Jangan mencelah ketika Taman Templer sedang berbahas, seolah-olah sekarang ini.. Jeram…Jeram..Jeram.. ini kita dalam Dewan, saya diberikan hak oleh Dusun Tua untuk bercakap,” katanya.

Mohd Sany Hamzan

Mohd Shaid ketika itu membaca Peraturan Tetap 36 (1), iaitu ahli hendaklah bersuara berdasarkan perkara yang dibincangkan.

“Ini jadi masalah  kalau (Jeram) betul-betul nak jadi pembangkang, jadi pembangkang yang sebetulnya. Ini jadi masalah, kita pun tak tahu (Jeram) nak jadi pembangkang ke, nak jadi bebas ke atau nak jadi kerajaan.

“Bila tak dapat bajet, marahkan kerajaan negeri… kena buatlah satu keputusan. Contohnya macam Sijangkang (Pas-Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi), dia pembangkang..senang,” kata Mohd Sany.

Timbalan Speaker DUN, Hasnul Baharuddin cuba menenangkan keadaan dengan menyatakan beliau yang mengizinkan Taman Templer bangun untuk mencelah perbahasan daripada Faizal Eddy.

Keadaan kembali tenang apabila Mohd Shaid dan Mohd Sany duduk dan Faizal Eddy meneruskan perbahasannya.

Mohd Shaid antara muka baru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tetapi pada Ogos 2020 mengumumkan keluar parti itu untuk menyertai parti yang dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam sidang DUN Selangor, beliau ditempatkan bersama barisan blok pembangkang dari Barisan Nasional (BN) dan Pas. – MalaysiaGazette