KUALA LUMPUR – Tidak ada keperluan lagi untuk pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat kali kelima, demikian menurut Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap wujudnya usaha yang masih mahukan agar pengeluaran KWSP ini diberikan buat kali kelima tetapi kali ini lebih bersasar.
“Sebelum ini saya memang berjuang di Dewan Rakyat untuk pengeluaran yang kita anggap yang terakhir.
“Ketika itu, ramai yang terkesan dengan nak buka sekolah, ada yang nak daftar universiti dan juga persiapan menyambut perayaan Aidilfitri.
“Pada waktu itu, keadaan memang sangat sukar, saya akui dan sentiasa meminta kerajaan khususnya Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan pengeluaran itu.
“Alhamdulillah, ia berhasil dan semua dapat mengeluarkan KWSP untuk kali keempat dan itu juga dikatakan adalah kali terakhir,” katanya ketika menjadi tetamu program SKOP MG yang bersiaran di Parlimen.
Katanya, tidak wajar untuk memohon lagi pengeluaran kali kelima tambahan ia baru sangat dikeluarkan.
“Itulah tabungan kita untuk hari akan datang.
“Lagipun, baru sangat keluar duit tabungan itu,kan.
“Sepatutnya duit yang keluar sebelum ini digunakan sebaik-baiknya bukan hanya membeli kereta, besarkan rumah dan akhirnya tidak ada simpanan,” katanya.
Mohd Salim berkata, masyarakat perlu bijak menggunakan duit yang ada.
“Kalau duit sebelum ini dijadikan modal untuk berniaga, mungkin masalah ‘meminta’ lagi tak jadi.
“Sekarang ini banyak peluang menjana pendapatan secara dalam talian. Apa yang penting kena rajin,” katanya.
Jelasnya, caruman yang ada kini semakin sedikit dan perlu disimpan untuk kegunaan pada masa yang ditetapkan.
“Biarlah duit ini dijana, mungkin tiga empat tahun lagi, jika keadaan benar-benar mendesak.
“Kalau itu (KWSP) pun habis, macam mana.
“Paling penting ada perancangan kewangan yang paling baik, yang penting usaha dan tidak meminta dengan mudah,” katanya.
Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub mengumumkan kerajaan membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.
Sebelum itu juga kerajaan sudah membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion.
Ia melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu. -MalaysiaGazette