IPOH – Mahkamah Tinggi di sini telah menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong atas kesalahan merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lalu.
Paul Yong yang juga bekas wakil rakyat dari DAP dan kini Bendahari Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebenarnya berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Namun demikian, Abdul Wahab telah membenarkan permohonan peguam mewakili tertuduh, Datuk Rajpal Singh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.
Beliau kemudian membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin selain dokumen perjalanan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Pada 31 Mac lalu, pasukan pembelaan diketuai Datuk Rajpal Singh bersama Salim Bashir menutup kes dengan memanggil tiga saksi termasuk Paul Yong dan isteri, Too Choon Looi, 46, serta saksi terakhir yang merupakan bapa saudara mangsa, Muhammad Rusdi, 51.
Sebelum ini Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan 29 Jun sebagai tarikh keputusan sama ada bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu didapati bersalah atau dibebaskan atas tuduhan berkenaan.
Mahkamah telah memerintahkan Paul Yong untuk membela diri terhadap tuduhan merogol selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.
Pada 23 Ogos 2019, Paul Yong ketika itu Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.
Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Mahkamah Tinggi putuskan ADUN Tronoh bersalah rogol pembantu rumah