Noor Hariri Mohamed Noor

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan menasihati ahli-ahli Parlimen menyokong sepenuhnya Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dibentangkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini, demi kestabilan dan kelancaran pentadbiran negara.

Ketuanya, Noor Hariri Mohd Noor berkata, mana mungkin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat mentadbir negara ini kalau Ahli-ahli Parlimen asyik mengugut lompat parti sekiranya tuntutan tidak munasabah mereka dipenuhi.

Ini juga, kata beliau, akan menjurus kepada aktiviti beli membeli Ahli-ahli Parlimen yang tentunya menggalakkan amalan rasuah berleluasa.

“Akibat amat besar sekali daripada ketidakstabilan politik ini adalah ekonomi negara kita tidak akan berkembang berikutan pelabur asing tidak berani masuk ke Malaysia.

“Ini tentunya akan memberi “chain effect” terhadap sektor perkilangan, pembuatan dan pertanian yang menjadi enjin ekonomi negara, sekali gus meningkatkan masalah pengangguran belia,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan juga perlu menjelaskan dua perkara pokok berhubung akta itu, pertama, apakah jenis lompat dan keduanya, bagaimana cara untuk penyelesaian kepada kerusi yang ditinggalkan kerana tindakan Ahli Parlimen itu melompat.

Justeru, Pemuda Umno Kelantan mencadangkan agar kerusi Ahli Parlimen yang lompat itu dikekalkan kepada parti tersebut, tanpa perlu diadakan pilihan raya kecil.

“Hanya parti itu menamakan sahaja calon wakil rakyat untuk menggantikan si pelompat berkenaan dan dengan cara ini, wang serta masa dapat dijimatkan oleh kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette