Baharin Din

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan bahawa bekalan elektrik di negara ini adalah berdaya harap dan stabil yang mana gangguan bekalan mampu dipulihkan dalam tempoh segera, seperti mana dibuktikan dalam kejadian gangguan bekalan di beberapa kawasan tengah hari tadi.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pemulihan dapat dilaksanakan dengan pantas hasil kecekapan pasukan teknikal TNB, selain rangkaian Grid Nasional itu sendiri mempunyai ciri-ciri pintar yang memudahkan kerja pengesanan dan pemulihan bekalan.

”Kami telah dapat menyelesaikan masalah gangguan dalam tempoh wajar, malah ada kawasan yang pulih seawal 20 minit selepas terputus bekalan.

”Pemulihan bekalan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap hasil pelaburan secara berterusan TNB memodenkan grid termasuk mendigitalkannya agar rangkaian pembekalannya lebih stabil, fleksibel dan konsisten,” katanya mengulas mengenai gangguan bekalan elektrik hari ini.

Baharin berkata, kejadian yang berpunca dari kerosakan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North, Johor itu adalah kes terpencil dan kepantasan pemulihan bekalan menggambarkan tahap daya harap rangkaian sistem bekalan TNB.

Justeru, beliau memberi komitmen bahawa TNB akan terus menyediakan bekalan elektrik yang berdaya harap dengan sentiasa melaksanakan senggaraan dan membuat pelaburan bagi meningkatkan keupayaan sistemnya.

”Keupayaan kami memulihkan bekalan hari ini adalah berikutan pelaburan besar dan berterusan TNB bagi menaik taraf sistem dengan sokongan Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli,” katanya.

Baharin seterusnya memohon maaf kepada pengguna yang terlibat dengan gangguan bekalan itu dan TNB akan menjalankan siasatan terperinci bersama pihak Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi mengambil langkah-langkah pencegahan dan usaha penambahbaikan.

Jelasnya, kerosakan di PMU Yong Peng North di Yong Peng itu tidak melibatkan sebarang kebakaran dan PMU tersebut telah pun beroperasi sepenuhnya. – MalaysiaGazette