Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menerusi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah membelanjakan kira-kira RM56 juta untuk proses naik taraf, baik pulih dan pembaikan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), Stadium Shah Alam serta beberapa komponen lain sekitarnya.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kos itu bagi penyelenggaraan dari tahun 2008 hingga 2018.

Katanya, bagi kos penyelenggaraan yang diuruskan MBSA setiap tahun sehingga diserahkan secara rasmi kepada Darul Ehsan Pengurusan Fasiliti Sdn. Bhd. (DEFM), melibatkan perbelanjaan sekitar RM5 hingga RM6 juta setahun.

“Kos ini berdasarkan kepada keperluan semasa bagi memastikan stadium berkenaan sentiasa berada dalam keadaan baik dan mampu untuk melaksanakan aktiviti yang lazim diadakan,” katanya menjawab soalan beberapa ADUN pada sidang DUN Selangor hari ini.

Menurut Amirudin, sepanjang tempoh 2018 hingga 2022 pula sebanyak RM22.2 juta telah dibelanjakan untuk membaikpulih beberapa kemudahan seperti mengecat pagar, menaiktaraf tandas dan bumbung stadium.

Kata beliau, sebanyak RM5.22 juta juga dibelanjakan bagi penyelenggaraan berkala seperti pembersihan luar dalam stadium, perkhidmatan kawalan keselamatan, penyelenggaraan padang dan kerja-kerja elektrik sepanjang tempoh itu.

“Peruntukan geran kerajaan negeri juga digunakan untuk kerja penyelenggaraan naik taraf dan baik pulih kemudahan lain seperti Kompleks Sukan Shah Alam, Stadium Melawati, Stadium Mini, Pusat Akuatik, Lapangan Boling Padang dan Taman Sukan Lasak Seksyen 13.

“Sebelum Sukan SEA 2017, kerajaan negeri turut berbelanja kira-kira RM600,000 untuk menggantikan elemen atau item seperti bumbung serta mana-mana lokasi yang terjejas teruk.

“Dalam tempoh 2015 hingga 2017, sekitar RM11.745 juta dibelanjakan bagi menaik taraf kemudahan tandas, pemasangan CCTV, pembaikan bumbung stadium, naik taraf kemudahan bilik korporat VIP dan VVIP serta naik taraf lampu limpah padang,” katanya.

Beliau menjelaskan, kos itu tidak termasuk penyelenggaraan berkala penambahbaikan kecil sepanjang tempoh berkenaan.

Jumlah itu, katanya, yang dibelanjakan dari tahun 2013 hingga 2017 secara spesifik dibelanjakan oleh MBSA yang bertanggungjawab mengendali, mengelola dan mengawal Stadium Shah Alam ketika itu.

“Keseluruhannya daripada tahun 2008 hingga 2018, kita telah berbelanja kira-kira RM56 juta termasuk komponen yang dibelanjakan sendiri oleh DEFM, MBSA dan sebahagian suntikan modal daripada kerajaan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette