Potensi kawasan Felda bukan sahaja terhad kepada penanaman sawit tetapi potensinya

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa kos untuk penanaman semula sawit bagi satu hektar untuk peneroka Felda didapati meningkat sebanyak 30 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, buat masa ini, peneroka perlu menanggung kos sebanyak RM18,000 berbanding RM14,000 sebelum ini.

“Seorang peneroka membayar antara RM250 hingga RM300. Kalau mereka bersama FELDA, bagi penanaman sawit, mereka cuma bayar RM250 tapi jika tak bersama FELDA, mereka kena bayar RM300 sebulan.

“Kos yang ditanggung untuk penanaman semula sekarang ialah RM18,000 untuk satu hektar bagi sawit berbanding dahulu RM14,000. Bagi tanaman getah pula ialah RM13,710,” katanya pada sesi jawab lisan kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) mengutarakan soalan tambahan yang ingin tahu jumlah hutang ditanggung peneroka jika mereka menyertai program penanaman semula bersama FELDA.

Dalam pada itu, Mustapa menjelaskan, bantuan pinjaman kepada peneroka ketika ini tidak lagi diberikan secara automatik sebaliknya mereka perlu membuat permohonan kearah itu.

“Kalau dahulu hutang ini atau pun bantuan pinjaman diberikan hampir secara automatik dan kelayakan hutangnya ada enam tahun, lapan tahun, sekarang empat tahun sahaja

“Inilah langkah diambil untuk kurangkan beban peneroka. Sekarang ini (bantuan pinjaman) bukan lagi automatik, mereka perlu memohon,” katanya menjelaska perkara itu.

Terdahulu, Mustapa memberitahu Dewan Rakyat bahawa sejumlah 17,304 daripada 112,638 peneroka FELDA sudah berbuat demikian.

Menurut beliau, jumlah peneroka yang mengusahakan tanam semula bersama FELDA kini adalah sebanyak 84.6 peratus.

“Daripada 17,304 jumlah peneroka yang tanam semula secara individu, seramai 8,501 peneroka menghantar hasil melalui ‘paysheet’ FELDA iaitu 49.1 peratus manakala 50.9 peratus peneroka menghantar hasil mereka kepada peraih luar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette