Paul Yong Choo Kiong rape Indonesian maid
Paul Yong Choo Kiong.

IPOH – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia pada 2019.

Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat ketetapan itu selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.

Untuk makluman, bekas pemimpin DAP itu kini berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Mahkamah kini ditangguhkan untuk kedua-dua berhujah.

Pada 31 Mac lalu, pasukan pembelaan diketuai Datuk Rajpal Singh bersama Salim Bashir menutup kes dengan memanggil tiga saksi termasuk Paul Yong dan isteri, Too Choon Looi  serta saksi terakhir yang merupakan bapa saudara mangsa, Muhammad Rusdi.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan 29 Jun sebagai tarikh keputusan sama ada bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu didapati bersalah atau dibebaskan atas tuduhan berkenaan.

Mahkamah telah memerintahkan Paul Yong untuk membela diri terhadap tuduhan merogol selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.

Pada 23 Ogos 2019, Paul Yong ketika itu Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast