MELAKA – Kawasan Malim Jaya, Pokok Mangga dan Batu Berendam di sini turut mengalami terputus bekalan elektrik susulan gangguan yang berlaku di beberapa buah negeri hari ini.
Pengurus Besar (Hal Ehwal Pemegang Taruh) TNB Melaka dan Negeri Sembilan, Ahmad Fadhli Aziz berkata, kawasan terbabit dikesan mengalami gangguan setakat pukul 2.20 petang tadi.
“Punca kejadian masih dalam siasatan kerana gangguan ini adalah mengikut punca bekalan yang terlibat. Kerja-kerja pemulihan akan dilakukan secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Media hari ini melaporkan beberapa kawasan di Semenanjung termasuk di Lembah Klang berdepan gangguan elektrik bermula tengah hari tadi.
Kejadian itu turut dikongsikan orang ramai menerusi platfom media sosial mereka yang turut menunjukkan beberapa pusat beli-belah dan pasar raya di ibu negara juga bergelap.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi kenyataan TNB Careline di laman Facebook dan Twitter rasminya, sebentar tadi turut mengesahkan terdapat gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan.
“Pasukan teknikal kami sedang mengenal pasti punca kejadian. Usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan,”katanya.- MalaysiaGazette