Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dan Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) melahirkan rasa lega dengan keputusan Dewan Rakyat meluluskan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)  2012 (SOSMA).

Selain SOSMA, yang turut disambut baik oleh kedua-dua pertubuhan itu ialah kelulusan usul Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, komitmen yang telah ditunjukkan oleh kerajaan dan wakil rakyat dalam membolehkan usul pelanjutan tempoh kuat kuasa kedua-dua undang-undang itu diluluskan adalah sokongan sangat besar dalam penguatkuasaan undang-undang di Malaysia.

“Saya dari MHO dan Tan Sri Musa Hassan yang juga bekas Ketua Polis Negara kini Presiden MCCC, kita sambut baik dan gembira dengan keputusan Dewan Rakyat semalam. Sememangnya kita semua komited untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara pada setiap masa.

“Ingat ya, undian para wakil rakyat di mana seramai 111 telah mengundi bersetuju itu sebenarnya satu komitmen rakyat dalam memastikan jenayah terancang yang mengancam negara ini dapat ditangani dengan baik.

“SOSMA amat penting untuk polis menjalankan siasatan dalam tempoh secukupnya melibatkan kes-kes kesalahan keselamatan seperti kumpulan jenayah terancang atau kumpulan yang berkait dengan keganasan. Bukankah ini sesuatu yang penting? Kes-kes ini amat kompleks dan rumit, perlu masa, perhatian dan bukti.

“Dalam tempoh masa secukupnya pihak berkuasa boleh kumpul bukti kukuh bagi proses pendakwaan selain menjejaki konco-konco mereka yang pastinya hidup dalam kalangan masyarakat kita sendiri

“Perkembangan melibatkan pelanjutan ini akan memberikan peluang untuk polis  menjalankan tanggungjawab berkenaan dengan lebih efisien demi kesejahteraan rakyat kita sendiri

“Sememangya MHO dan MCCC menghargai semua ahli-ahli Parlimen yang telah menyokong sehinggalah usul ini berjaya diluluskan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Datuk Hishamuddin Hashim.Foto AFFAN FAUZI, 22 JULAI 2022.

Persidangan Dewan Rakyat semalam tertumpu kepada usul KDN untuk membentangkan semula lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang ditolak oleh majoriti ahli Parlimen pada Mac lalu.

Menurut aturan urusan mesyuarat dan usul-usul Dewan Rakyat semalam, usul tersebut berada di senarai kelima, namun tidak dapat dipastikan jika sempat dibentangkan kerana terdapat Rang Undang-Undang (RUU) berkait sistem insurans pekerjaan, keselamatan sosial suri rumah, mahkamah kehakiman dan kanun tatacara jenayah perlu dibaca untuk kali kedua.

Tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA dihadkan kepada lima tahun sahaja bagi mewujudkan elemen semak dan imbang dalam penguatkuasaannya, bagaimanapun, ia boleh disemak dan dilanjutkan jika mendapat kelulusan Parlimen.

Baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri berjaya membatalkan keputusan Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu yang menolak usul melanjutkan tempoh penguatkuatkuasaannya supaya tempoh tahanan 28 hari dikekalkan selama lima tahun lagi mulai hujung bulan ini.

Dalam pada itu, kata Hishamuddin lagi, pihaknya juga agak musykil dengan segelintir ahli Parlimen khasnya pembangkang yang menolak usul ini.

“Ada juga yang tolak atau tidak hadir. Jika bersebab yang berfakta tidak apa. Komitmen dan sokongan yang diberikan ini sebenarnya untuk memastikan keselamatan dan keamanan rakyat Malaysia dapat terus dijaga serta dipelihara menggunakan saluran betul,” katanya.- MalaysiaGazette