Tangkap layar menunjukkan telinga kanak-kanak perempuan yang dipercayai didera gurunya di sebuah sekolah pendidikan khas di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI –  Hanya kerana didakwa bertindak agresif di dalam kelas, dikatakan menjadi punca seorang guru mendera seorang kanak-kanak autisme dalam satu kejadian di sebuah sekolah pendidikan khas di Seberang Jaya di sini.

Kejadian pada 19 Julai lalu itu terbongkar selepas pihak polis menerima satu laporan daripada ibu mangsa berhubung kejadian yang menimpa anak perempuannya berusia tujuh tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kertas siasatan berhubung kes itu dibuka selepas polis menerima laporan pada hari sama.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku jam 9.30 pagi, apabila mangsa berstatus autisme itu dikatakan bertindak agresif di dalam kelas sehingga menyebabkan beberapa murid lain takut dan menangis.

“Susulan itu, seorang guru wanita berusia lingkungan 30-an dikatakan bertindak memegang kedua-dua belah telinga mangsa untuk menenangkannya. Namun, perbuatan guru tersebut menyebabkan kedua-dua telinga mangsa lebam.

“Mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan dan kes disiasat Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak menularkan isu ini di media sosial kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan kepada masyarakat setempat,” tegas beliau. – MalaysiaGazette