Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 20 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti secara jelas memmpunyai lapan parameter utama.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelapan-lapan parameter itu telah dibuat Jawatankuasa Pilihan Khas terhadap semua persoalan berkiatan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Beliau berkata, parameter itu adalah perundangan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti ini tidak akan terpakai secara restrospektif iaitu pelaksanaan akta mulai tarikh kuatkuasa akta ini.

“Pendekatan satu langkah (one-step approach) dengan izin, diambil dalam memperkenalkan undang-undang larangan bertukar parti iaitu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan;

“Ketiga, Ahli Dewan Rakyat yang keluar dari parti politik dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza adalah terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat,” katanya ketika membentangkang RUU ini untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Keempat, menurut Ismail Sabri, akta ini juga termaktub kepada ahli Parlimen dalam sesebuah parti politik tidak kira sama ada parti politik itu merupakan anggota sesebuah gabungan.

Selain itu, akta ini juga termaktub kepada ahli Parlimen yang bukan kepada anggota mana-mana parti politik yang membentuk satu gabungan daripada gabungan tersebut.

“Kelima, keanggotaan Ahli Dewan Rakyat dalam parti gabungan tidak akan diambil kira kerana persoalan dasar utama yang menjadi asas dalam penggubalan Rang Undang-Undang ini adalah keahlian seorang Ahli Dewan Rakyat dalam suatu parti politik.

“Keenam, penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabungan tidak akan diambil kira dalam rang undang-undang berkaitan dengan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti,” jelas Ismail Sabri lagi.

Tambah beliau, RUU ini juga akan mengakibatkan ahli Parlimen hilang jawatan sekiranya bertukar parti politik atau meninggalkan parti politik yang mencalonkan beliau sebagai calon semasa Pilihan Raya Umum (PRU).

Ia juga termaktub kepada ahli Parlimen yang menjadi bebas juga terpaksa mengosongkan kerusinya.

Parameter terakhir adalah memberikan pengecualian kepada ahli Parlimen antaranya disebabkan partinya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.

RUU ini juga memberikan pengecualian kepada ahli Parlimen yang dilantik sebagai yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Pemecatan Ahli Dewan Rakyat dari keanggotaan dalam parti politik dikecualikan dari Ahli Dewan Rakyat terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat,” jelas Ismail Sabri lagi.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti dijadualkan akan melalui proses bacaan kali ketiga hari ini untuk diluluskan. – MalaysiaGazette