Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti bertujuan memastikan politik kembali stabil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, RUU ini juga bagi mengelak negara terus berdepan krisis politik yang tidak berkesudahan.

“Pindaan undang-undang ini juga untuk memberikan mesej yang jelas kepada setiap Ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli Dewan Rakyat ketika proses pilihan raya,” jelas Ismail Sabri ketika membentang RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, bagi pihak kerajaan, Ismail Sabri melahirkan keyakinan RUU itu mampu untuk menghentikan tindakan mana-mana pihak daripada bertukar parti tanpa sebab yang kukuh sekaligus memastikan kestabilan politik negara.

“Sesungguhnya, proses penggubalannya bukanlah suatu proses yang mudah kerana ia melibatkan masa, tenaga dan komitmen semua pihak terlibat iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara dan Parlimen Malaysia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, bagi menggubal RUU ini kerajaan memerlukan sokongan dua pertiga bagi meminda fasal (3) Perkara 159 yang tertakluik kepada fasal (4) Perkara 10 Perlembangaan Persekutuan.

“Rang Undang-Undang ini merupakan satu sejarah besar negara kerana ia dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.

“Semoga Rang Undang-Undang ini berupaya melakar sejarah sepertimana Pindaan Perlembagaan Berkaitan Perjanjian Malaysia Tahun 1963 yang memperoleh sokongan penuh daripada semua ahli-ahli Parlimen yang berjiwa besar,” kata Ismail Sabri.

Untuk rekod, selepas mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, RUU itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan antara 11 hingga 26 Ogos untuk diperkenan manakala pewartaannya dijangka antara 29 Ogos hingga 2 September depan. – MalaysiaGazette