Mustapa Mohamed meninjau sesi praktikal (hands-on) Inisiatif Pemasaran Digital telah dirasmikan oleh saya di Perpustakaan Wilayah @ Lembah Pantai di lokaliti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat di negara ini diseru untuk tampil bersama-sama kerajaan menjayakan program Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) bagi mencapai sasaran kemiskinan tegar sifar pada akhir tahun 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa komited terhadap usaha merapatkan jurang pendapatan antara rakyat dan menangani masalah miskin bandar seperti di keempat-empat lokaliti terpilih di Kuala Lumpur.

Fasa pertama sedang dilaksanakan secara berperingkat di 80 lokaliti seluruh negara yang melibatkan kira-kira 3,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar.

Bagi memastikan keberkesanaan pelaksanaan program, Unit Perancang Ekonomi (EPU) telah bekerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Koridor dan Universiti Awam untuk menyelaras, memudah cara dan melaksana program BMTKM sejak Mei lalu.

Empat daripada lapan lokaliti di Kuala Lumpur terpilih dalam pelaksanaan program BMTKM Fasa 1 ini iaitu PPR Kerinchi, PPR Desa Rejang, PPR Kg. Muhibbah dan PPR Taman Mulia.

Bagi PPR Kerinchi, seramai 57 KIR terpilih dan bersetuju menyertai program ini.

Daripada 57 KIR berkenaan, lebih 50% KIR berminat untuk menceburi dan memperoleh pendapatan dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

Menurutnya, pendigitalan merupakan satu instrumen penting dalam strategi pelaksaaan BMTKM untuk meningkatkan pendapatan sekali gus mengeluarkan KIR terlibat daripada kemelut kemiskinan tegar.

Selaras dengan pendekatan keseluruhan negara, sebanyak empat buah syarikat telah bersetuju untuk terlibat dalam pelaksanaan BMTKM iaitu Shopee Malaysia, Dialog Berhad, Felda Global Ventures (FGV) dan UMW Corporation Sdn. Bhd (UMW) sebagai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat.

Pendekatan bersepadu daripada pihak syarikat ini akan dapat membantu memperluaskan rangkaian pemasaran produk keusahawanan yang dihasilkan melalui platform pemasaran digital.

”Pada 26 Julai 2022, satu sesi praktikal (hands-on) Inisiatif Pemasaran Digital telah dirasmikan oleh saya di Perpustakaan Wilayah @ Lembah Pantai di lokaliti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur.

”Sesi ini merupakan salah satu inisiatif CSR daripada Shopee Malaysia kepada ahli Keluarga Malaysia yang menyertai program BMTKM ini,” katanya.

Penganjuran sesi ini juga bertujuan membuka minda peserta BMTKM di PPR Kerinchi dan meneroka potensi mereka bagi menjana pendapatan yang lebih tinggi melalui manfaat platform eDagang.

Mustapa menambah, seramai 22 daripada 57 KIR telah mengikuti sesi pemasaran digital ini malam tadi.

Pihak Shopee Malaysia pula telah memberikan pendedahan asas berkenaan pemasaran digital menerusi platform eDagang mereka bagi membuka minda peserta BMTKM untuk meneroka peluang memulakan perniagaan dan memiliki “kedai digital” sendiri di alam maya.

”Usaha ini diharap dapat membantu KIR terlibat untuk menceburi dunia perniagaan secara digital dan seterusnya meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi mereka.

”Berdasarkan kejayaan dan minat yang ditunjukkan oleh peserta BMTKM di PPR Kerinchi ini, pihak Shopee Malaysia akan membimbing mereka sebagai anak angkat sehingga mereka berjaya sebagai usahawan digital.

”Perjalanan peserta program ini juga akan dipantau rapi oleh pihak Universiti Malaya bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan program,” ujarnya. – MalaysiaGazette