Tun Dr Mahathir Mohamad during the Dewan Rakyat Sitting special
Tun Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir menyokong perbentangan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang dibawa kerajaan hari ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu berkata, kerajaan perlu membuat pindaan terhadap syarat anti lompat parti itu kerana ada keperluan untuk membenarkan aktiviti melompat parti sekiranya jumlah kerusi yang dimenangi oleh sesebuah parti itu tidak mencukupi sebagai kerajaan yang kukuh.

“Kalau kita tegah kesemua tidak boleh lompat parti maka tidak akan ada kerajaan yang majoriti dan berwibawa sebaliknya PRU perlu diadakan semula untuk mengelakkan daripada itu, saya percaya kalau lompat parti dilakukan seluruh parti masuk dalam parti yang tidak cukup kerusi tapi dengan syarat aktiviti itu dilakukan dengan persetujuan parti mengikut undang-undang parti yang dibuat oleh kuasa tertinggi parti.

“Maka seluruh parti itu boleh bekerjasama dalam satu gabungan dengan parti yang kalah dengan ada majoriti maka lompat parti tak akan bawa kepada kehilangan kerusi,” katanya ketika membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti di Dewan Rakyat hari ini.

Dr. Mahathir berkata, sememangnya aktiviti lompat parti perlu ditegah namun terdapat keperluan di mana situasi disebabkan oleh parti yang tidak mendapat majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Jelasnya lagi, aktiviti lompat parti dilihat perlu bagi membentuk kerajaan yang kukuh sekiranya tidak mahu digulingkan atas usul undi tidak percaya di Parlimen.

“Aktiviti lompat parti perlu ditegah tapi kadang kala kita perlu ada lompat parti kerana dalam pilihan raya umum tidak ada satu pun parti yang mendapat lebih 50 peratus kerusi supaya dapat bentuk kerajaan.

“Yang ada adalah parti yang ada kurang daripada 50 peratus dan dalam keadaan itu kalau ditubuh juga satu kerajaan minoriti apabila datang ke Dewan Rakyat maka kerajaan itu boleh dijatuhkan dengan hanya mengundi usul tidak percaya kerajaan.

“Dalam keadaan itu kita boleh ada PRU sekali lagi tetapi itu juga tidak akan menentukan sebab itu ada perlunya lompat parti dibenarkan supaya jumlah ahli cukup untuk menjadi kerajaan dengan majoriti,” katanya lagi.

Kerajaan hari ini membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang bertujuan memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara terus berdepan krisis politik yang tiada berkesudahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Dewan Rakyat hari ini berkata pindaan itu juga untuk memberikan mesej yang jelas kepada setiap Ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili. – MalaysiaGazette