Sulaiman Md Ali

MELAKA – Ketiadaan sebarang usul undi tidak percaya terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini membuktikan dakwaan itu hanyalah omongan kosong.

Menurut Sulaiman, hubungan beliau bersama semua 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) amat baik dan tidak mempunyai sebarang masalah.

“Ada yang sebut akan berlaku undi tak percaya, saya tak tahu dari mana datang cerita ini dan saya yakin pada ketika itu siapa yang berani buat undi tak percaya? Hubungan saya bersama 21 ADUN BN ini baik.

“Jadi rakyat di Melaka ini dimomokkan lagi dengan kisah undi tak percaya, sedangkan sebenarnya tiada masalah pun malah saya tidak sikit pun bimbang dengan apa yang diperkatakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada hari terakhir Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, DUN Melaka Yang Ke-15 di Seri Negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, pelbagai tohmahan yang dilemparkan sebelum ini termasuk kononnya hubungan beliau tidak sehaluan dengan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh juga tidak memberi kesan terhadapnya.

“Saya dan dia (Ab Rauf) tak ada masalah pun, saya dah kawan dengan dia lebih 10 tahun dan tak pernah risau pun kedudukan saya tergugat atau tidak.

“Orang yang lantik saya, beri watikah lantikan adalah presiden parti (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), kalau (Ahmad Zahid) panggil saya turun baru saya turun.

“Tapi kalau tiada arahan dari parti, macam mana saya nak step down (lepas jawatan), jadi orang luar sana nak tuduh apa pun, tuduhlah,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan Sulaiman mungkin sekali lagi berdepan undi tidak percaya pada Sidang DUN kali ini.

Ab Rauf Yusoh bagaimanapun dalam reaksi balasnya pada 8 Julai lalu menafikan pergolakan politik Melaka seperti yang dilaporkan itu.

Beliau dalam nada tegas berkata, laporan portal terbabit berniat jahat serta boleh mengganggu gugat kestabilan politik negeri sambil menyifatkan ia bukanlah pertama kali dilemparkan terhadap kepemimpinan BN Melaka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast