Rizam Ismail
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Rizam Ismail

SHAH ALAM – Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) diamanahkan untuk menyiasat pihak yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap penebangan bakau di Kampung Dato Hormat, Sungai Ayer Tawar sekitar tahun 2008.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Klang, Datuk Teng Chang Kim (PH) berkata, langkah berkenaan bagi menamatkan pertikaian tuding-menuding di antara Barisan Nasional (BN) selaku pembangkang dan Kerajaan Negeri Selangor.

“Saya rasa untuk menamatkan pertikaian ini biarlah JP-ABAS yang menyiasat sebab kalau tebang pun kena ada masa melantik kontraktor dan sebagainya jadi ada kemungkinan dibuat sebelum 2008 dan ada kemungkinan keputusan dibuat selepas Pakatan Rakyat mentadbir. Jadi baik kita siasat daripada bergaduh,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Terdahulu, persidangan DUN Selangor kecoh selepas Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, kerajaan negeri tidak mengambil inisiatif untuk memulihkan tanah paya bakau yang sepatutnya dijadikan projek kelapa sawit secara besar-besaran.

Beliau yang juga ADUN Sungai Air Tawar itu berkata, sehingga kini kawasan berkenaan dibiarkan selepas pokok bakau ditebang.

“Selepas berlaku penebangan kerajaan negeri tidak ada usaha membuat penanaman semula di kawasan ini sehingga orang tempatan terpaksa menggerakkan usaha sendiri di bawah Kelab Cinta Bakau untuk menanam semula pokok-pokok bakau di kawasan ini.

“Kerajaan negeri sebegini hebat, takkanlah tiada usaha memulihkan semula pokok bakau yang ditebang di bawah PKPS, kalau keadaan tanah tidak sesuai kenapa tanah ini diambil? Ini berlaku pada tahun 2009 selepas Pakatan Harapan memerintah,” tegasnya.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong menafikan kelulusan penebangan bakau diberikan selepas Pakatan Rakyat mentadbir.

Walaubagaimanapun, hujah ADUN Sungai Air Tawar disokong oleh ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman (PH-PKR).

Ahmad Mustain setuju dengan dakwaan Rizzam penebangan bakau sememangnya selepas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) nekad mengendahkan bantahan penduduk sekitar tahun 2008.

“Saya nak menjadi orang tengah kejadian itu berlaku semasa saya menjadi Penyelaras DUN Sungai Tawar sekitar 2008, memang ada aduan penduduk untuk diadakan perjumpaan dengan PKPS supaya projek itu

“Tapi tidak tahu PKPS dapat arahan daripada siapa, sama ada kerajaan negeri. PKPS bertegas memajukan kawasan itu dan memang betul hutan bakau ditebang dan ditanam sawit, tapi apabila ban pecah, sawit semua mati, akhirnya projek itu batal, saya tidak pasti kelulusan diberikan pada zaman BN atau PH tapi berlaku penebangan dan penanaman pada zaman PH,” ujarnya.-MalaysiaGazette