KUALA LUMPUR – Indonesia bersetuju untuk menarik kembali sekatan kemasukan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI). dan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) ke Malaysia bermula 1 Ogos 2022.
Penarikan ini selepas Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk mengintegrasi sistem sedia ada antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) bagi pengambilan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI).
Integrasi sistem ini akan berperanan sebagai saluran tunggal pengambilan dan kemasukan PDI ke Malaysia.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, sistem ini akan beroperasi dalam masa tiga minggu lagi di bawah pengawalseliaan Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Indonesia.
Menurut beliau, bagi memastikan sistem saluran tunggal ini beroperasi dengan lancar, satu projek rintis akan dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan sebaik integrasi sistem selesai.
“Saya percaya penyelesaian isu-isu dalam Perjanjian Persefahaman (MoU) PDI ini akan mendorong kepada kelancaran kemasukan pekerja warga Indonesia ke Malaysia dalam sektor pekhidmat domestik mahupun sektor lain yang dibenar untuk penggajian pekerja warga asing,” katanya.
Saravanan mengingatkan para majikan yang mana kuota pekerja warga asing mereka telah diluluskan oleh Kementerian Sumber Manusia supaya segera membuat bayaran levi dengan Jabatan Imigresen Malaysia.
Bagi majikan yang ingin menggajikan pekerja warga Indonesia pula, mereka boleh membuat urusan pengambilan mulai Isnin minggu hadapan. – MalaysiaGazette