KUALA LUMPUR – Jumlah dagangan Malaysia melepasi paras RM2 trilion buat pertama kalinya pada 2021, kembali tumbuh 24.9 peratus, tahun ke tahun, berbanding penurunan 3.3 peratus pada 2020.

Eksport meningkat 26.1 peratus kepada RM1.2 trilion disumbangkan oleh prestasi memberangsangkan kedua-dua eksport domestik dan eksport semula, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Eksport domestik melepasi paras satu trilion buat pertama kalinya, meningkat 26.6 peratus, tahun ke tahun manakala eksport semula meningkat 24.0 peratus kepada RM229.0 bilion.

Selaras dengan prestasi eksport, import pada 2021 juga mencatatkan pertumbuhan 23.3 peratus untuk mencecah nilai tertinggi RM987.3 bilion.

Sementara itu, imbangan dagangan kekal dengan lebihan bagi tahun ke-24 berturut-turut sejak 1998 berjumlah RM253.7 bilion, meningkat 38.4 peratus,

Menurut Jabatan Perangkaan, kenaikan eksport didorong terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke China dengan pertumbuhan 20.9 peratus atau RM33.3 bilion berikutan eksport kukuh gas asli cecair, barangan perkilangan logam
dan barangan elektrik & elektronik(E&E).

Ia diikuti oleh Amerika Syarikat (+RM33.2 bilion), Singapura (+RM31.8 bilion), Kesatuan Eropah (+RM19.4 bilion), Vietnam (+RM14.7 bilion), Jepun (+RM13.3 bilion) dan Australia (+RM10.1 bilion), hasil peningkatan eksport barangan E&E.

Sementara itu, eskport ke India tumbuh 48.7 peratus atau RM14.8 bilion disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit.

Di samping itu, peningkatan import dipacu oleh import yang lebih tinggi dari China dengan nilai peningkatan RM56.8 bilion.

Peningkatan ini didorong oleh import yang lebih tinggi bagi barangan E&E dan kimia & bahan kimia. Diikuti oleh Singapura (+RM20.0 bilion, keluaran petroleum), Indonesia (+RM19.4 bilion, arang batu), Kesatuan Eropah (+RM17.7 bilion), Taiwan (+RM17.2 bilion), dan Jepun (+RM12.4 bilion), masing-masing disokong oleh pertumbuhan eksport barangan E&E.

Import daripada Thailand meningkat 32.3 peratus atau RM11.1 bilion disumbangkan oleh kenaikan import bagi kelengkapan pengangkutan.

Mengulas lebih lanjut, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, lonjakan peningkatan eksport diterajui oleh barangan elektrik & elektronik (+RM69.7 bilion); keluaran petroleum (+RM34.3 bilion); barangan perkilangan logam (+RM24.7 bilion); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM23.5 bilion); keluaran getah (+RM20.3 bilion); kimia & bahan kimia (+RM19.9 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM11.7 bilion) dan jentera, kelengkapan & peralatan (+RM10.5 bilion).

Sementara itu, kenaikan ketara import dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (+RM61.5 bilion); keluaran petroleum (+RM29.5 bilion); kimia & bahan kimia (+RM22.3 blilion); barangan besi & keluli (+RM8.8 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (+RM8.5 bilion); emas, bukan bentuk wang (+RM8.1 bilion); barangan perkilangan logam (+RM7.2 bilion); arang batu (+RM7.0 bilion) dan keluaran getah (+RM6.9 bilion).

Pada masa yang sama, pertumbuhan import mengikut penggunaan akhir disokong dengan permintaan tinggi bagi barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan.

Import barangan perantaraan, bernilai RM545.8 bilion atau 55.3 peratus daripada jumlah import, meningkat 27.2 peratus, didorong oleh import yang lebih tinggi bagi bekalan perindustrian, diproses.

Barangan modal, berjumlah RM103.8 bilion (10.5% daripada jumlah import), meningkat 14.4 peratus, terutamanya disebabkan oleh peningkatan import barangan modal (kecuali alat kelengkapan pengangkutan).

Sementara itu, import barangan penggunaan (8.5% daripada jumlah import) mencatatkan peningkatan 13.2 peratus kepada RM83.9 bilion, kesan peningkatan import yang lebih tinggi bagi makanan & minuman, diproses, khusus untuk penggunaan isi rumah.

Selaras pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula Februari 2021, import vaksin untuk perubatan manusia meningkat ketara 1,216.0 peratus, tahun ke tahun pada 2021 disumbangkan oleh vaksin Covid-19.

Mengambil kira penularan wabak yang berterusan, eksport sarung tangan getah mengekalkan pertumbuhan ketara dengan
52.6 peratus, namun pada kadar yang lebih perlahan berbanding lonjakan 104.5 peratus pada 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast