Ikan bilis dari Kampung Mandahan, Kimanis, Sabah.

KUALA LUMPUR – Sabah merekodkan jumlah perdagangan tertinggi pada tahun 2021 didorong oleh peningkatan harga dan permintaan komoditi, terutamanya bagi komoditi berkaitan dengan petroleum dan minyak sawit.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata Sabah berdagang dengan 134 buah negara pada tahun 2021 dengan jumlah dagangan RM87.2 bilion, meningkat 9.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan ini dipacu oleh eksport yang meningkat 34.7 peratus kepada RM55.7 bilion manakala, import mencatatkan RM31.6 bilion, menguncup 17.1 peratus dengan lebihan dagangan berjumlah RM24.1 bilion, meningkat 642.2 peratus yang merupakan rekod pertumbuhan tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Peningkatan nilai eksport barangan adalah dipacu oleh minyak kelapa sawit yang meningkat RM4.4 bilio n (+34.4%) kepada RM17.3 bilion. Ini dikuti petroleum mentah (+RM3.8 bilion, +24.6%), minyak isirung sawit (+RM1.1 bilion, +63.7%) dan metanol (+RM1.0 bilion, +67.0%).

Sementara itu, import yang lebih rendah pada RM31.6 bilion adalah disebabkan oleh penurunan sebanyak 50.2 peratus bagi jentera dan kelengkapan pengangkutan.

Laporan tersebut juga menyatakan Semenanjung Malaysia merupakan rakan dagang utama yang menyumbang 39.8 peratus kepada jumlah perdagangan, diikuti oleh China (12.3%), Australia (5.0%), Kesatuan Eropah (4.9%) dan India (4.6%).

Lima rakan dagang ini bukan sahaja merangkumi 66.5 peratus daripada jumlah perdagangan pada 2021, malahan juga merupakan lima destinasi eksport utama yang menyumbangkan RM34.9 bilion atau 62.8 peratus daripada jumlah eksport.