KUALA LUMPUR – Orang Melayu disifatkan telah kalah kerana bangsanya sendiri melakukan khianat terhadap amanah dengan mengejar keuntungan di depan mata.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya apabila mendakwa, orang Melayu sanggup mengkhianati bangsanya sendiri dan sebahagian Melayu meredhakannya.
“Apakah perpecahan orang Melayu berlaku apabila orang Melayu bersatu tidak kira siapa yang benar atau salah?
“…atau perpecahan itu berlaku apabila orang Melayu meninggalkan apa yang benar dan salah, apa yang adil dan zalim dan apa yang memberikan kebaikan yang sebenar dan jangka panjang atau sedikit manfaat sekarang dan kesusahan dan kezaliman pada anak cucu kita kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu di sini, hari ini.
Marzuki berkata, orang Melayu pada hari ini dimomokkan dengan kemenangan parti Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor dengan kononnnya bangsa itu telah kembali kepada parti tersebut.
Ujarnya, dengan jumlah 23 peratus undi yang memihak kepada BN pada PRN Johor yang lalu, namun, sebenarnya ia adalah pertambahan hanya satu peratus undi yang dimenangi oleh parti berkenaan pada PRU14.
Katanya, dengan jumlah 379,886 undi, UMNO hanya mampu mengekal 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun, dengan jumlah undi yang lebih kurang sama, UMNO telah menguasai 2/3 kerusi DUN Johor.
“Nyatanya, jumlah ini sebenarnya tidak mewakili keseluruhan sokongan orang Melayu pada satu parti tertentu,” tambahnya.
Bagaimanapun katanya, sesuatu yang harus diperakui apabila 45 peratus pengundi yang tidak keluar mengundi juga memberi indikator bahawa apa yang dibawakan oleh pembangkang naratifnya masih tidak dapat diterima oleh orang Melayu.
Sebahagian rakyat, termasuk orang Melayu mengalami defisit kepercayaan kepada politik yang mana 13 peratus orang Melayu pula mencari alternatif kepada parti Melayu dan memilih Perikatan Nasional (PN).
“Orang Melayu secara umumnya, kekal tidak boleh menerima parti DAP, politik dan idealogi mereka. Penolakan ini juga kelihatan lebih jelas dalam PRN Johor kepada PKR apabila sokongan Melayu kepada PKR jatuh dari 27 peratus kepada sembilan peratus,” tambahnya.
Katanya lagi, semua data itu menunjukkan perpecahan dalam kalangan politik Melayu apabila bangsa itu seolah-olah terperangkap untuk memilih antara dua kedurjanaan sama ada memilih pemimpin Melayu yang korup atau kepimpinan politik berbilang kaum yang dilihat menentang atau mengetepikan agenda orang Melayu.
“Apabila kepimpinan Melayu gagal menguruskan amanah pentadbiran mereka dengan betul, kita dapat menyaksikan pelbagai masalah kepada rakyat dan orang Melayu.
“Ini dapat dilihat daripada kelemahan ketara pengurusan pandemik Covid-19, hutang 1MDB yang terus terpaksa ditanggung oleh rakyat, kehilangan pelaburan asing, kehilangan pekerjaan, mata wang yang jatuh, kenaikan kos bahan binaan dan perniagaan, harga barang makanan yang kian mahal, kos sara hidup yang makin menaik dan gaji yang tidak meningkat, jumlah besar pelajar yang ketinggalan pelajaran, pelbagai bencana yang berterusan menghimpit rakyat dan pelbagai lagi,” katanya.
Terdahulu, persidangan tersebut turut dihadiri bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang diundang untuk bual bicara bersama peserta. – MalaysiaGazette
















