ADUN Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim ketika di Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2022 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor mempertimbangkan untuk mengadakan kerjasama dengan kerajaan Negeri Sembilan bagi membangunkan hab industri penerbangan.

Exco Perindustrian, Datuk Teng Chang Khim berkata, kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan tidak rasmi namun sehingga kini tiada keputusan rasmi dibuat.

“Ada pertukaran fikiran dan pandangan antara saya dan Exco Negeri Sembilan untuk kolaborasi cuma setakat ini belum ada perbincangan secara serius.

“Pandangan saya ada kekuatan di Negeri Sembilan kerana nilai tanahnya rendah dan kos mendirikan kilang di sana rendah bersebelahan Selangor,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan kedua-dua negeri berkenaan sebelum membuat keputusan antaranya sambungan pusat selenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) yang jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Mohd Sany Hamzan (Taman Templer-PH) berhubung kolaborasi antara kedua-dua negeri untuk mewujudkan hab industri penerbangan di kawasan sempadan.

Sebelum itu, Chang Kim berkata, Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan sedang meneliti langkah strategi untuk merancakkan semula industri aeroangkasa selepas negara bergelut dengan Covid-19. – MalaysiaGazette