Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Kassim beramah mesra dengan sebahagian penerima pingat pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kuala Lumpur di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Penceramah bebas yang disiasat kerana disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun telah diserahkan kepada Polis Kontinjen Perak untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, suspek lelaki tempatan bergelar ustaz berusia 30-an itu telah diambil oleh pasukan siasatan jenayah Kontinjen Perak semalam.

“Reman terhadap penceramah bebas itu tamat semalam bagi kes di Kuala Lumpur dan suspek ini telah pun kita hantar ke Perak yang mana pasukan Perak datang ambil dia di sini petang semalam.

“Kita hantar suspek ke Perak sebab ada keperluan untuk menyiasat lanjut dalam kes yang dilaporkan di negeri tersebut,” katanya dalam sidang media di Pusat Polis Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontijen Kuala Lumpur 2022 yang telah dihadiri dan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Kertas siasatan penceramah bebas rogol remaja diserah kepada TPR esok

Penceramah bebas disyaki rogol remaja direman polis KL hingga Rabu

Pada majlis tersebut seramai 198 pesara dan juga yang masih berkhidmat dalam PDRM telah dianugerahkan pingat.

Kata Azmi, terdapat baki 400 lagi individu penerima dan juga yang terakhir bagi Kontinjen KL akan dianugerahkan pingat berkenaan dalam enam bulan pertama tahun depan.

Mengulas lanjut mengenai siasatan penceramah bebas, beliau berkata, bagi siasatan kes membabitkan kontinjen Kuala Lumpur, kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam minggu ini.

“Kita sebenarnya sudah rujuk kertas siasatan kepada TPR semalam namun TPR memerlukan beberapa keterangan lanjut dalam siasatan ini perlu ditambah bagi melengkapkan semula kertas siasatan, maka ia akan diangkat semula untuk arahan lanjut TPR.

“Lagip un, oleh kerana kita tidak memohon sambung reman ke atas suspek yang tamat reman empat hari semalam (27 Julai 2022), kita pun sudah serahkan kepada Perak terlebih dahulu untuk memulakan siasatan mereka sementara kami di sini menyiapkan kertas siasatan untuk rujuk semula kepada TPR.

“Kalau takde masalah dalam minggu ini, harap dapat keputusan (menuduh) dari TPR dan kalau Perak sudah habis menyiasat suspek, kita boleh mengambil dia untuk menuduh di mahkamah nanti,” tegasnya.

Sebelum ini suspek telah diambil dari pasukan Kontinjen Selangor Sabtu lalu sebelum direman selama empat hari bermula 23 Julai lalu hingga semalam.

Terdahulu, suspek telah ditahan polis di IPD Kuala Selangor pada 18 Julai lalu ketika hadir memberi keterangan selepas polis menerima laporan mangsa rogol pada 16 Julai lalu.

Mangsa didapati mengenali suspek sejak Mei lalu selepas mendekati penceramah bebas itu untuk masalah berkaitan isu agama.

Kemudian kedua-dua mereka telah mengadakan hubungan intim di beberapa lokasi berbeza dan siasatan polis Selangor menjurus kepada sama wujud unsur paksaan oleh suspek terhadap mangsa.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.- MalaysiaGazette