Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim. Foto AMIRUL SHAUFIQ 26 OKTOBER 2021.

PUTRAJAYA – Polis Kuala Lumpur akan merujuk kertas siasatan penceramah bebas bergelar ustaz yang disyaki merogol perempuan remaja kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Rabu ini untuk arahan lanjut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya percaya siasatan dapat dilengkapkan esok sebelum dirujuk walaupun ada sedikit perkara yang perlu diselesaikan.

“Setakat hari ini siasatan yang kita menjalankan masih belum lengkap…sedikit lagi kenyataan yang perlu kita kumpul dalam kes ini..

“Namun saya percaya esok kita mampu lengkapkan dan merujuk kertas siasatan ini kepada Timbalan Pendakwa Raya, jadi kita tunggu apa keputusan TPR sekiranya boleh dituduh kita akan tuduh suspek,” katanya ditemui di Pangkalan Polis Marin Putrajaya hair ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Penceramah bebas disyaki rogol remaja direman polis KL hingga Rabu

Ustaz didakwa rogol remaja diserah kepada Polis KL esok – Sasikala

Penceramah bebas ditahan rogol remaja

Tambah beliau, kertas siasatan yang akan dirujuk kepada TPR esok membabitkan laporan polis yang telah diterima daripada mangsa rogol di Kuala Lumpur.

Sama ada, reman suspek akan disambung atau tidak,  bergantung sepenuhnya kepada keputusan TPR selepas meneliti kertas siasatan.

“..sekiraya ada keperluan untuk kita tambah kenyataan daripada suspek yang kita akan ambil, mungkn kita akan mohon reman itu disambung,” tegasnya.

Terdahulu, Azmi mengesahkan suspek berusia 30-an itu telah direman oleh Kontinjen Kuala Lumpur selama empat hari sejak Ahad hingga Rabu ini untuk membantu siasatan polis.

Pada Sabtu lalu, Timbalan Ketua Polis Selangor Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata,  pihaknya telah menyerahkan suspek kepada Kontinjen Kuala Lumpur selepas tempoh reman selama empat hari terhadap suspek sejak 19 Julai hingga 23 Julai lalu tamat.

Katanya, suspek telah ditahan polis di IPD Kuala Selangor pada 18 Julai lalu ketika hadir memberi keterangan selepas polis menerima laporan mangsa rogol pada 16 Julai lalu.

Mangsa didapati mengenali suspek sejak Mei lalu selepas mendekati penceramah bebas itu untuk masalah berkaitan isu agama.

Kemudian kedua-dua mereka dikatakan mengadakan hubungan intim di beberapa lokasi berbeza dan siasatan polis Selangor menjurus kepada sama wujud unsur paksaan oleh suspek terhadap mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan bagi dua seksyen itu, masing-masing membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.- MalaysiaGazette