Timbalan Ketua Polis Selangor Deputi Komisioner Datuk S. Sasikala Devi . Foto AFFAN FAUZI, 13 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang penceramah bebas bergelar ustaz yang didakwa merogol remaja perempuan berusia 14 tahun akan diserahkan kepada polis Kontinjen Kuala Lumpur esok untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor,  Datuk S. Sasikala Devi,  tindakan itu memandangkan tempoh tahanan reman selama lima hari yang telah diperoleh sebelum ini akan tamat esok.

“Kita sudah siasat suspek selepas tahan reman selama lima hari sejak Rabu lalu dan esok akan diserahkan kepada polis KL.

“Dalam kes ini, jumlah laporan polis yang diterima berkaitankes rogol ini ke atas suspek masih kekal empat laporan iaitu dua di Selangor dan masing-masing satu kes di Kuala Lumpur dan Perak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Penceramah bebas ditahan rogol remaja

Dalam pada itu, Sasikala turut menggesa mana-mana individu lain yang menjadi mangsa rogol membabitkan penceramah bebas berkenaan agar tampil membuat laporan polis untuk membolehkan pihaknya menyiasatnya.

Malah, katanya, siasatan awal pihaknya mendapati suspek dan remaja perempuan itu mula berkenalan selepas mangsa menghubungi lelaki terbabit di media sosial bagi bertanya mengenai masalah agama sebelum hubungan mereka terjalin sejak Mei tahun lalu.

Beliau berkata, siasatan juga  melihat sama ada wujud sebarang unsur jenayah ugutan oleh suspek ke atas mangsa tersebut.

“Kita siasatan sama ada wujud sebarang ugutan dari suspek terhadap mangsa kerana siasatan mendedahkan berlaku hubungan intim antara kedua-dua mereka beberapa kali di lokasi berbeza sebelum ini.

“Siasatan juga diteruskan dalam aspek sama ada perwatakan baik suspek menyebabkan mangsa percaya kepada suspek sehingga disyaki berlakunya kejadian berkenaan (rogol),” ujarnya.

Pada Selasa 19 Julai lalu, Sasikala menerusi satu kenyataan telah mengesahkan tentang penahanan penceramah bebas berusia 30-an itu kerana disyaki telah merogol remaja perempuan berusia 14 tahun kenalannya.

Katanya, polis menerima laporan polis dari mangsa pada 16 Julai lalu jam lebih kurang 11.15 malam mendakwa dia telah dirogol suspek.

Bertindak atas laporan, suspek telah ditahan pada 19 Julai lalu ketika hadir membantu siasatan tersebut dan direman selama lima hari sehingga 23 Julai ini.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast